Suryani
Mohd Tair (gambar kecil), maut dalam nahas jalan raya yang berlaku di
kilometer12.5 jalan Paka - Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS),
Ketengah Jaya, di sini, pagi ini.
DUNGUN - Tiga beradik bergelar anak yatim dalam sekelip mata apabila ibu mereka, Suryani Mohd Tair, 28, maut dalam nahas jalan raya yang berlaku di kilometer12.5 jalan Paka - Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS), Ketengah Jaya, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.00 pagi itu, kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang dipandu suami mangsa, Tuan Mohd Nasarudin Muin, 29, dipercayai telah merempuh sebuah lori yang ketika itu sedang membelok ke sebelah kanan jalan.
Sewaktu kejadian mangsa bersama suami yang tinggal di Kerteh 4 dalam perjalanan menuju ke arah Paka dan ketika tiba di lokasi kenderaan mereka dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapan dan tidak menyedari terdapat sebuah lori sedang membelok ke kanan jalan untuk masuk ke ladang berhampiran.
Rempuhan kuat di bahagian belakang sebelah kiri lori menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bapa mangsa, Mohd Tair Mohd, 58, berkata, dia menerima satu panggilan telefon memaklumkan tentang kemalangan tetapi suasana di tempat kerjanya agak bising membuatkan dia tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang cuba disampaikan.
"Saya bekerja di kawasan industri dan keadaan di situ agak bising membuatkan saya tidak mengendahkan panggilan telefon yang diterima.
"Saya mendengar pemanggil menyebut tentang kemalangan tetapi tidak sangka pula yang dimaksudkan adalah anak saya sendiri.
"Selepas itu saya buat tidak tahu sahaja dan meneruskan kerja sehinggalah seorang rakan memaklumkan kepada saya tentang kejadian itu.
"Saya hubungi semula orang yang menelefon tadi dan dia maklumkan memang betul anak saya yang kemalangan.
"Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan didapati anak saya sudah meninggal dunia,"katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, dia langsung tidak menyangka tiga cucunya yang berusia 2 hingga 7 tahun akan menjadi anak yatim dalam sekelip mata dan anak ketiga daripada empat beradik itu langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.
"Baru semalam saya bersama Suryani dan anak-anaknya ke Kuantan menziarahi anak saudaranya yang tidak sihat tetapi dia tidak menunjukkan sesuatu yang ganjil atau berubah tingkah laku.
"Kami pulang sudah lewat petang dan saya sempat menunaikan solat maghrib di rumahnya di Felda Kerteh 4 dan dia seperti biasa sahaja.
"Biasanya dia hanya menjaga bengkel suaminya yang juga ada di kawasan sini dan kadang-kadang anak-anak ditinggalkan bersama isteri saya.
"Mungkin ketika kejadian tadi dia menemani suaminya untuk mengemas sebuah lagi bengkel baru yang berada di Paka," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Muhammad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.05 pagi dan bergegas ke lokasi.
"Ketika tiba di lokasi didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Mitsubishi Pajero dan sebuah lori tiga tan.
"Pemandu Mitsubishi Pajero mengalami kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke klinik berhampiran.
"Manakala penumpang perempuan dewasa masih berada di tempat duduknya dan dikeluarkan oleh bomba serta disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Seramai enam anggota menggunakan sebuah jentera terlibat dalam operasi itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.