HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Ogos 2016

Tiga ‘Tan Sri’ kena tampil bersihkan nama – Wanita Umno

INTAN NUR IDAYU


3EX-GOV


KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno menggesa supaya tiga orang ‘Tan Sri’ yang dinamakan oleh Sarawak Report sebagai ‘dalang’ yang mendedahkan maklumat syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara tampil membersihkan nama mereka.

Tiga orang Tan Sri yang dimaksudkan adalah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed.

Menurut Pengerusi Biro Media dan Penerbitan Pergerakan Wanita Umno, Datuk  Jamelah A. Bakar, mereka perlu tampil ke depan bagi mengelak daripada rakyat tertanya-tanya sama ada betul ataupun tidak mereka sanggup berbuat demikian. 

“Ini amatlah penting sebagai bekas Gabenor Bank Negara, sebagai bekas AG dan sebagai bekas tunjang utama SPRM yang jasa mereka amat besar kepada negara dan rakyat,  mereka tidak harus berdiam diri dengan dakwaan Sarawak Report itu.

“Janganlah beban diri dengan tuduhan yang berat itu dan kerajaan dan rakyat tertanya-tanya tentang kedudukan perkara sebenarnya,” katanya, memetik laporan Umno Online.

Isu tiga ‘Tan Sri’ ini mula diperkatakan setelah Naib Ketua Pemuda Umno,  Khairul Azwan membuat laporan polis mendakwa wujud konspirasi antara tiga orang ‘Tan Sri’ untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Pihak polis bagaimanapun telah menggugurkan laporan tersebut setelah siasatan mendapati laporan tersebut dibuat atas andaian tanpa dikemukakan sebarang bukti kukuh. 

Ekoran itu, Khairul Azwan telah dilaporkan ‘menjaja’ cerita kepada akar umbi Umno bahawa laporan polis yang dibuatnya ke atas Zeti, Abdul Gani dan Abu Kassim telah berjaya menggagalkan usaha mereka menggulingkan Perdana Menteri. 

Dalam perkembangan lain, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula mengesahkan wujud konspirasi tiga orang Tan Sri untuk menjatuhkan Najib dengan mendedahkan maklumat sulit mengenai 1MDB.

Walaubagaimanapun, beliau turut menyatakan pada asalnya ada empat orang Tan Sri yang terlibat dalam konspirasi ini tetapi beliau percaya individu keempat tersebut telah mengkhianati tiga orang Tan Sri ini. 

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada betul ataupun tidak Tan Sri keempat itu adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Kata Tun Mahathir, beliau tidak mahu ditangkap. 


Tiada ulasan: