HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 September 2016

C4 gesa Ketua Audit Negara siasat tawaran plat khas kereta

Koh Jun Lin


Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mahu Ketua Audit Negara menyiasat tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjual hak untuk medapatkan plat khas nombor kenderaan kepada pihak ketiga.

Ini susulan tindakan Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (Naam) yang membeli hak untuk menjual plat khas kenderaan yang bermula dengan abjad 'NAAM' daripada JPJ pada harga RM1 juta menerusi rundingan terus.

"Kami gesa Ketua Audit Negara untuk meneliti tawaran ini. Bagaimana JPJ membuat keputusan berhubung sesuatu permohonan?

"Adakah wang rakyat terlibat? Bagaimanakah bidaan tender terbuka dielakkan?" kata pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini pada Isnin lalu mengenai cara Naam dan kumpulan berkaitan politik lain yang diberikan hak untuk menjual plat khas kenderaan tanpa keperluan untuk membida pada tender terbuka.

Sebaliknya, hak dijual pada harga kira-kira RM1 juta, tertakluk kepada kelulusan JPJ.

Naam diketuai oleh timbalan menteri belia dan pemimpin kanan MIC, Datuk M Saravanan, yang sesetengah pihak berpendapat menimbulkan konflik kepentingan.

Cynthia berkata Naam perlu mendedahkan alasan keperluannya menjual plat khas tersebut.

Tiada ulasan: