Susan Loone
Dalam tempoh 40 tahun di Pulau Pinang, Gerakan membawa pembangunan ke
negeri ini tanpa insiden penyalahgunaan kuasa atau rasuah, kata
presiden parti itu Datuk Mah Siew Keong.
Mah merayu rakyat Pulau Pinang untuk memberi Gerakan peluang
melaksanakan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan
Harapan.
Beliau memberitahu anggota Gerakan dan pemimpinnya supaya berbangga,
berani dan meneruskan perjuangan di Pulau Pinang, sambil mengucapkan
tahniah kepada mereka kerana bekerja keras walaupun tidak memiliki
kerusi di negeri itu.
Mah berkata DAP menerajui Pulau Pinang hanya selama lapan tahun,
tetapi sudah ada insiden rasuah seperti melibatkan kes bapa ADUN Sungai
Pinang Lim Siew Khim yang didakwa menerima rasuah sebagai pertukaran
rumah kos rendah.
Mah berkata, kejadian melibatkan bapa Siew Khim Lim Keat Seong, 68,
menunjukkan rakyat Pulau Pinang terdesak untuk memiliki rumah sendiri.
Kerajaan Pulau Pinang dan Siew Khim menafikan penglibatan dalam
kes itu, tetapi Siew mengakui bapanya kadang kala menimbulkan masalah
terhadap keluarganya.
Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi perumahan Jagdeep
Singh Deo menggesa mangsa yang telah membayar wang bagi unit rumah
tersebut agar segera membuat laporan polis.
Siew Khim menyalahkan Gerakan kerana menimbulkan isu untuk
mengalihkan perhatian daripada pertelingkahan dalaman parti itu bagi
kerusi DUN Sungai Pinang.
"Tidak semua adalah satu konspirasi, dalam kes ini, Naib Pengerusi
Gerakan negeri Oh Tong Keong beritahu yang benar," kata Mah semasa
berucap pada mesyuarat perwakilan negeri yang diadakan di ibu pejabat
parti itu di Jalan Macalister, hari ini.
"Siew Khim berkata, dia adalah mangsa (pertelingkahan
dalaman Gerakan) tetapi mangsa sebenarnya adalah rakyat Pulau Pinang,"
kata Mah.
Oh bertelagah dengan pemimpin parti itu, bekas timbalan setiausaha
agung kebangsaan Dr Thor Teong Gee yang meletak jawatan daripada semua
jawatan parti selepas dikritik kerana tidak layak menjadi calon Sungai
Pinang.
Mah berkata DAP menjanjikan "bulan dan bintang" apabila mereka
mengambil alih Pulau Pinang tetapi akhirnya menyalahkan pentadbiran
sebelumnya apabila berlaku kesilapan.
Beliau mempersoalkan ke mana semua wira anti-rasuah dalam DAP apabila
isu bapa Siew Khim didedahkan dalam satu klip video baru-baru ini.
"Mereka (DAP dan penyokongnya) mengatakan bahawa ini adalah satu
kesalahan kecil; jadi adakah DAP sebuah parti salah yang kecil? Itulah
sebabnya Gerakan perlu menjadi check and balance untuk kebaikan Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang," kata Mah.
Sementara itu, Mah turut membidas DAP kerana didakwa sombong sehingga
hampir mengadakan pilihan raya negeri "kerana seorang individu".
Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini mahukan pilihan raya negeri
diadakan untuk mendapatkan mandat baru DAP dan Pakatan Harapan selepas
didakwa dengan dua tuduhan rasuah berkaitan
pembelian banglo RM2.8 juta di Jalan Pinhorn.
Lim yang juga setiausaha agung DAP mengaku tidak bersalah terhadap
kedua-dua pertuduhan itu dan kesnya disebut pada 22 September ini di
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.