Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Amanah menaruh harapan pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad
dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membibitkan 'sinar' meskipun
bekas Perdana Menteri itu menafikan perjumpaan tersebut sebagai
mengakhiri permusuhan politik.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata hubungan baik antara
kedua-dua pemimpin politik itu akan memberi manfaat kepada pihak
pembangkang dalam usaha menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
"Kita mengharapkan suasana yang baru ini, di mana Mahathir dan Anwar
dapat memperbaiki hubungan antara mereka dan mendatangkan satu lonjakan
sokongan terhadap pembangkang supaya usaha untuk menjatuhkan Najib dan
Barisan Nasional (BN) dapat cetus gelombang baru.
"Rakyat Malaysia tidak menafikan ketokohan yang wujud dalam diri dua
pemimpin ini dan gandingan potensi antara mereka menjanjikan (sebuah
gabungan) pembangkang yang berkesan," katanya di sidang media parti itu,
pagi tadi.
Khalid juga berharap satu usaha dapat digerakkan walaupun menyedari
wujud sebahagian pihak di dalam PKR yang tidak bersetuju dengan
Deklarasi Rakyat yang didokong Mahathir.
"Menerusi perjumpaan saya dengan Mahathir juga dalam program Deklarasi
Rakyat baru-baru ini sebut bahawa beliau kena fikirkan soal bagaimana
hendak reconcile (bersatu) supaya PKR secara keseluruhannya boleh
bersama dengan usaha Deklarasi Rakyat dan Bersatu untuk bergabung dan
bekerjasama dengan PH," ujarnya lagi.
Mahathir semalam melakukan kejutan apabila hadir di mahkamah untuk
berjumpa Anwar yang memfailkan tindakan undang-undang bagi menghalang
penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 atas alasan ia
tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Bagaimanapun tokoh itu menafikan beliau berjumpa Anwar untuk berbaik
semula dan mengakhiri permusuhan politik antara mereka yang menjangkau
18 tahun.
Sebaliknya kata Mahathir, kehadiran beliau adalah untuk menyokong Anwar bersabit Akta MKN.
Dalam pertemuan mereka, Anwar dilihat menggenggam tangan kiri Mahathir
sementara Mahathir pula kelihatan menepuk bahu Anwar dengan mesra.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara
Sungai Buloh atas tuduhan sodomi kali kedua membabitkan bekas
pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Mahathir diiringi oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin
Ali yang juga Timbalan Presiden PKR dalam pertemuannya itu dengan
Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.