HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 September 2016

Dua lagi negara dibenar bekal pengawal keselamatan - Ahmad Zahid

 
 
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dan beramah mesra bersama Ahli Lembaga Pengarah, Pengurus Syarikat dan Pelanggan Industri Kawalan Keselamatan Negara di Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 06 SEPTEMBER 2016
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dan beramah mesra bersama Ahli Lembaga Pengarah, Pengurus Syarikat dan Pelanggan Industri Kawalan Keselamatan Negara di Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,


Kerajaan bersetuju untuk membenarkan dua lagi negara menjadi sumber untuk mendapatkan pegawal keselamatan asing berikutan kesukaran Nepal untuk membekalkan tenaga kerjanya ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, dua negara tersebut telah dimuktamadkan namun beliau menyerahkan kepada keputusan Kabinet sebelum mengumumkannya tidak lama lagi.

"Saya sendiri telah pergi ke Nepal tetapi sudah tidak ada lagi bekas polis serta tentera yang boleh dijadikan pengawal keselamatan di sini kecuali jika saya mencari di kawasan-kawasan pedalaman negara berkenaan.

"Justeru, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk membenarkan dua negara sumber lagi bagi pengawal keselamatan asing selain Nepal," katanya semasa berucap di Majlis Perjumpaan bersana Ahli Lembaga Pengarah, Pengurus Syarikat dan Pelanggan Industri Kawalan Keselamatan Negara di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun menurut Ahmad Zahid, setiap syarikat wajib mematuhi nisbah pekerja asing dan tempatan seperti yang telah ditetapkan sebelum ini meskipun peluang untuk mendapatkan pekerja asing lebih mudah dengan pertambahan negara sumber.

"Namun ada syaratnya, tenaga kerja tempatan hendaklah didahulukan. Nisbah pekerja asing dan tempatan mesti dipatuhi walaupun saya amat faham mengenai masalah-masalah yang dihadapi syarikat akibat isu yang ditimbulkan pekerja tempatan seperti waktu bekerja yang singkat, kerap bercuti dan tidak hadir kerja. Ini kerana saya sendiri turun ke bawah untuk mengetahui situasi sebenar," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa syarikat-syarikat kawalan keselamatan boleh menerima pembayaran kontrak dengan mana-mana kementerian atau agensi kerajaan dalam tempoh 30 hari.

Ini sebagai maklum balas kepada rungutan syarikat kerana pembayaran daripada kerajaan adalah lambat sedangkan mereka perlu membayar gaji pekerja. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: