KUALA LUMPUR:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia hari ini
memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
berhubung beberapa isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara
(LKAN) Tahun 2015 Siri 1, berkaitan pelaksanaan Sistem Imigresen
Malaysia (myIMMs).
Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin
berkata hadir pada prosiding yang bermula 11 pagi dan berakhir 1.30
tengah hari itu ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim;
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua
Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
“PAC berpuas hati dengan penjelasan
serta penerangan yang diberikan KDN dan Jabatan Imigresen terhadap isu
yang dibangkitkan dalam LKAN Tahun 2015 Siri 1.
“Bagaimanapun, PAC mahu kerajaan
khususnya KDN dan Jabatan Imigresen memastikan semua sistem yang
dibangun dan digunakan benar-benar dapat diintegrasikan secara
menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara keseluruhannya, Hasan berkata
sistem myIMMs adalah baik dan telah memenangi banyak anugerah di dalam
dan luar negara berhubung pencapaian dan pelaksanaannya.
PAC juga berpandangan bahawa sistem
myIMMS tidak perlu ditukar tetapi ditambah baik berdasarkan keperluan
semasa bagi memudahkan pegawai dan kakitangan JIM untuk lebih mahir
mengendalikannya.
“Selain itu, adalah amat penting Unit
Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
dibabitkan secara langsung dalam setiap aspek perancangan dan
pelaksanaan sistem teknologi maklumat JIM,” kata Hasan.
Menurut kenyataan itu, MAMPU juga
diminta sentiasa memantau dan memberi input serta cadangan dalam
menambah baik myIMMs supaya sistem itu berada pada tahap terkini selain
memastikan jaminan keselamatan negara terkawal. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan