Halaman

Selasa, 6 September 2016

Replika Helang: Nazri sifatkan kenyataan Timbalan Mufti Perak pandangan peribadi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata binaan replika burung helang di Langkawi bukan satu masalah kerana ia tidak digunakan untuk beribadah.
 
Menurutnya, kenyataan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim mengenai binaan replika sedemikian adalah haram dari segi Islam kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup, sebagai pandangan peribadi.
 
"Itu adalah pandangan dia, tidak wajar untuk memberi sebarang komen.
 
"Sebagaimana yang kita semua tahu, kita tidak menggunakan patung untuk bersolat," katanya dipetik sebuah portal.
 
Terdahulu Jumaat lalu, Zamri menulis di sebuah akhbar harian bahawa pembinaan replika yang menyerupai bentuk yang hidup seperti manusia atau haiwan adalah haram dari segi Islam, dan tugu helang itu seharusnya dirobohkan.
 
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut mempertahankan Zamri, dan berkata pembinaan replika atau monumen menyerupai mahkluk adalah dilarang.
 
Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Tourism, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, tiada keperluan untuk merobohkan tugu berkenaan kerana burung helang merupakan ikon bagi Langkawi.
 
"Bila orang bercakap mengenai Langkawi, mereka akan terfikirkan burung helang. Saya berpandangan bahawa tujuannya hanya untuk penjenamaan dan pelancongan," katanya.
 
Pengerusi Matta Kedah, Abd Rashid Hashim juga membantah sebarang idea untuk merobohkan replika burung helang.
 
"Adalah tidak logik untuk merobohkan tugu berkenaan. Tugu ikonik itu bukan sekadar ada di Langkawi sahaja, tetapi boleh didapati di tempat-tempat lain.
 
"Jika kita robohkan burung helang, pihak berkuasa mungkin terpaksa merobohkan tugu kucing di Kuching dan Tugu Negara di Kuala Lumpur," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.