Halaman

Selasa, 6 September 2016

Azmin yakin pertemuan Anwar-Mahathir permulaan ke arah perpaduan umat

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menyifatkan pertemuan bersejarah antara dua 'seteru' politik, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai satu permulaan ke arah perpaduan umat.
 
"Pertemuan ini membuktikan kedua tokoh memiliki jiwa besar tatkala negara berdepan dengan krisis kepimpinan dan memerlukan satu hala tuju untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.
 
"Seperti yang disebut oleh Datuk Seri Anwar di mahkamah, kehadiran Dr Mahathir membuktikan bahawa beliau bersedia menerima agenda reformasi.
 
"Saya yakin ini satu permulaan ke arah perpaduan umat dan pengukuhan parti-parti politik yang progresif sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke 14," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.   
 
Anwar dan Mahathir bertemu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam, ketika Ketua Umum PKR itu hadir untuk memfailkan injunksi bagi menghalang Perdana Menteri meneruskan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
 
Mahathir pula hadir untuk memberi sokongan kepada bekas ketua pembangkang itu.
 
Pada pertemuan bersejarah itu, kedua-dua tokoh berkenaan bersalaman buat kali pertama selepas 18 tahun 'berpisah', iaitu selepas Mahathir bertindak memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
 
"Apa yang disaksikan oleh dunia pada saat itu adalah bukan sekadar dua insan bersalaman tetapi dua negarawan yang sanggup mengenepikan perbedaan dan kegetiran masa lampau demi masa depan negara dan rakyat Malaysia yang lebih terjamin," kata Azmin.
 
Kedua tokoh berkenaan juga sempat bertemu selama kira-kira 30 minit secara tertutup untuk membincangkan beberapa perkara.
 
Bagaimanapun Mahathir menafikan pertemuan itu untuk mengakhiri permusuhan politik antara mereka, sebaliknya kehadiran beliau adalah untuk menyokong Anwar bersabit Akta MKN.
 
Anwar kini sedang menjalani hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.