Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli parlimen pembangkang akan mendapatkan pandangan
bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kuasa imuniti
dalam Dewan Rakyat.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan
Selasa depan, susulan siasatan ke atas beberapa wakil rakyat yang
membangkitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan
Rakyat.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan ahli parlimen dan bekas ahli
parlimen dan mereka akan datang Selasa depan untuk bincang mengenai
strategi dan langkah seterusnya.
“Saya dah bercakap dengan Dr Mahathir dan tanya pendapat dia, Dia (Dr
Mahathir) akan hadir,” kata Kit Siang di sidang media di Dewan Rakyat
hari ini.
Perbincangan ini dibuat kononnya mahu membela nasib tiga ahli parlimen
yang juga bekas menteri kabinet iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk
Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang
disiasat berhubung dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika
membahaskan usul di Parlimen.
Lebih lanjut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata
pihaknya turut mengalu-alukan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin
Mulia untuk hadir ke mesyuarat berkenaan supaya dapat menerangkan
dengan lebih lanjut berkenaan kuasa imuniti itu.
“Muhyiddin, Shafie dan Husni akan hadir untuk bertindak atas cabaran
itu. Saya juga jemput speaker untuk datang dan terangkan kepada semua
apa yang dia buat untuk mempertahankan imuniti parlimen.
“Saya dah jemput semua ahli Parlimen BN dan menteri untuk hadir,” katanya.
Untuk rekod, Muhyiddin pada dua hari lalu memberitahu dirinya dipanggil
pihak polis selepas didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika sesi
perbahasan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Sementara itu Husni yang juga bekas Menteri Kewangan II terpaksa
menangguhkan sesi memberi keterangan kepada pihak polis sehingga minggu
hadapan.
Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan