Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari
ini memberi peringatan kepada ahli parlimen yang pernah memegang jawatan
dalam Kabinet supaya tidak menyalahgunakan kekebalan kuasa imuniti
Dewan Rakyat.
Tegasnya lagi, bekas menteri dilarang membocorkan sebarang maklumat
yang diterima mereka ketika memegang jawatan di dalam kerajaan suatu
ketika dahulu demi agenda politik peribadi.
"Setiap ahli parlimen harus mempunyai maruah diri. Bukan bersembunyi di
belakang imuniti hanya untuk memperkasakan agenda perjuangan politik
masing-masing.
"Dalam kes Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
meletakkan jawatan dahulu, adakah beliau mengemukakan alasan? Beliau
meletak jawatan begitu sahaja.
"Tetapi kenapa di dalam Dewan Rakyat minggu lalu, beliau mengeluarkan
kenyataan tidak bersetuju dengan Kabinet pula?" soalnya dalam sidang
media di Dewan Rakyat petang tadi.
Kenyataan Pandikar Amin itu menyusul ekoran tindakan beberapa bekas
menteri mendedahkan rahsia kerajaan kepada umum mengenai skandal
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pandikar Amin juga merujuk kepada Konvensyen Parliment House of Commons
di England yang mana sesiapa yang tidak lagi memegang jawatan menteri
kabinet tidak boleh mendedahkan rahsia berkenaan dasar dan polisi
kerajaan yang dibincangkan.
Beliau juga menyuarakan pandangan yang sama terhadap bekas timbalan
perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.
"Dua menteri ini (Muhyiddin dan Shafie), mereka tidak meletak jawatan
tetapi dilucutkan jawatan oleh Perdana Menteri kerana mereka tidak
bersetuju dengannya. Tetapi mereka berdua ini masih berhujah di dalam
dewan.
"Sudah dipecat, kemudian baru nak buat kenyataan di dalam dewan, itu
satu tindakan yang tidak 'gentleman'. Jangan berselindung di belakang
imuniti," katanya.
Malah menyentuh perbincangan ahli-ahli parlimen pembangkang yang mahu
membincangkan kuasa imuniti di dalam Dewan Rakyat, Pandikar memaklumkan
beliau belum mendapat sebarang jemputan.
Perbincangan tersebut dikatakan bakal disertai mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan