Oleh Haizal Yatiran
KUALA LUMPUR: Parti politik pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri
Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya menjadi 'kuda tunggangan' DAP, demikian
menurut Menteri Pertanian, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
"Sekarang pun sudah dilihat menjadi parti yang menjadi boneka. Saya
kira sesiapa sahaja yang boleh memenuhi hasrat dan kehendak DAP, saya
kira mereka adalah sebahagian dari boneka-boneka yang dikehendaki oleh
DAP.
"Secara tidak langsung beliau (Mahathir) adalah merupakan satu daripada
barisan depan yang DAP boleh gunakan untuk DAP gunakan bagi meruntuhkan
kerajaan yang ada sekarang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan
Umno, Tan Sri Annuar Musa semalam yang menjangkakan DAP menjadi parti
dominan sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) akan
datang.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Seri Dr. Markus M. Mojigoh turut bersetuju
bahawa DAP menjadi parti dominan dalam blok pembangkang.
Tindakan Tun Mahathir untuk berjumpa dengan ahli Parlimen pembangkang
di Parlimen esok atas pengaruh DAP berjaya membenarkan kenyataan Annuar
Musa semalam.
"Memang betul (kenyataan Annuar). Sehingga mengheret Tun M ke Parlimen
esok. Jadi, inilah kerja-kerja pembangkang ini, terutama sekali DAP.
"Jadi, isu-isu yang mendominasi jika dia (DAP) memerintah negara kita,
itu memang betul. Apa yang mereka lakukan ketika ini memang menjurus
kepada arah itu," katanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan Umno itu berkata, parti-parti pembangkang
bakal menjadi boneka kepada DAP sekiranya memenangi PRU yang akan
datang.
Tambah Annuar, DAP ketika ini juga berjaya membuktikan bahawa PKR dan
AMANAH sudah menjadi kuda tunggangan DAP bagi mencapai nafsu mereka
menumbangkan Barisan Nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.