KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Tinggi hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan perbuatan pengganas IS.
Lans Koperal Mustaza Abdul Rahman, 29, mengaku tidak bersalah selepas
ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk
Nordin Hassan yang kemudiannya menetapkan 25 dan 27 Januari ini untuk
perbicaraan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan mahkamah pendakwaan akan memanggil 10 saksi.
Tertuduh yang bekerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,
Sungai Petani, Kedah, didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada
berlakunya perbuatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan
ideologi dan boleh dianggap sebagai diniatkan mengugut orang awam di
Malaysia melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan ‘amanah’
menerusi telefon bimbitnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau
denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat
untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mustaza didakwa dengan sengaja tidak memberi
apa-apa maklumat berkenaan kesalahan berkaitan pengganas mengikut
Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 7 tahun
atau dengan denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada
kumpulan pengganas IS dengan cara melakukan sumpah setia (berbai’ah)
melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan ‘gagak hitam’
menerusi telefon bimbitnya (tertuduh).
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan
yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau
denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat
untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Mustaza yang diwakili peguam, Faizal Rahman didakwa melakukan semua
kesalahan itu di blok Perumahan Polis IPD Kuala Muda antara 30 Mac
hingga 29 Julai 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan