KUALA LUMPUR: Isu Rohingya jika tidak ditangani dengan baik boleh
digunakan oleh Negara Islam (IS) untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia
Tengara, kata Panglima Angkatan Tentera General Zulkifeli Mohd Zin
kepada rakan sejawatnya di Myanmar.
Dalam pertemuannya dengan pimpinan tertinggi tentera Myanmar awal
minggu ini, beliau berkata, Malaysia memandang berat keadaan itu.
Beliau menekankan dalam satu kenyataan, negara Asean perlu bekerjasama rapat dalam hal itu.
Lawatan ke Myanmar itu adalah sebahagian jadual lawatan menemui panglima tentera Asean sebelum persaraan beliau.
Di Myanmar, beliau bertemu dengan rakan sejawatnya General Kanan Min Aung Hlaing.
Semalam, Myanmar memanggil duta Malaysia untuk memprotes kehadiran
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan menyokong Rohingya
di sini Ahad lalu.
Perhimpunan itu diadakan sebagai tanda protes terhadap penindasan yang
didakwa dilakukan terhadap penduduk Rohingya beragama Islam di Myanmar.
Najib berkata, protes yang dihadiri beribu-ribu orang itu bukan
semata-mata di atas dasar agama, tetapi juga rasa kemanusiaan bagi
penduduk Rohingya.
Selasa lalu, Myanmar juga mengumumkan penghentian sementara penghantaran pekerja ke Malaysia.
Sementara itu, bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan yang melawat
wilayah Rakhine di Myanmar di atas jemputan Aung San Suu Kyi, pemimpin
utama Myanmar, berkata keadaan menimpa masyarakat Rohingya itu bukan
pembunuhan beramai-ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.