Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
KUALA LUMPUR: Tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan negeri
Johor memberi status kerakyatan kepada 700,000 rakyat China sekali lagi
disanggah Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam kenyataan medianya, beliau menyifatkan tuduhan bekas perdana
menteri itu sebagai tidak berasas dan bertujuan menimbulkan kegusaran di
kalangan rakyat negara ini.
"Saya kekal konsisten dengan pendirian tegas dan kenyataan saya sebelum
ini mengenai dakwaan Mahathir berkaitan 700,000 warga asing di Johor
yang kononnya akan diberi kad pengenalan (IC) untuk menjadi pengundi
sebagai tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk
mengeliru serta menakut-nakutkan rakyat.
"Untuk rekod, dakwaan Mahathir tersebut dibuat dalam satu siri ceramah
anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pasir Gudang, Johor
baru-baru ini.
"Dakwaan melulu Mahathir tersebut bukan sahaja tidak logik dan berasas,
malah sangat tersasar dari bersandarkan sebarang fakta dan mana-mana
sumber yang sahih," demikian tegasnya.
Khaled berkata permohonan tanah bagi pemilikan asing bagi tempoh 2003
hingga 30 November 2016 hanyalah sebanyak 29,218 unit bersamaan 2.01
peratus daripada jumlah keseluruhan hak milik hartanah di Johor yang
berjumlah 1,452,931 unit.
Tegasnya lagi Malaysia mengamalkan perundangan dan sikap tegas terhadap permohonan tanah bagi pemilikan asing.
Apatah lagi dengan proses untuk mendapatkan status warganegara Malaysia juga amat ketat bagi rakyat asing yang memohon.
"Yang jelas, pemilikan hartanah di Malaysia tidak memberi sebarang keistimewaan dalam proses memohon status kewarganegaraan.
"Mahathir perlu bersikap objektif dengan hakikat bahawa membuka peluang
untuk pemilikan hartanah oleh warga asing di negara kita sama sekali
berbeza dengan memberi kerakyatan Malaysia kepada mereka.
"Jika sekalipun beliau mempunyai bukti sahih daripada sumber yang jelas
bahawa terdapat sehingga 700,000 warga China akan diberikan kerakyatan
Malaysia dalam masa terdekat, beliau boleh sahaja merujuk perkara
tersebut kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ini kerana Muhyiddin masih lagi seorang anggota parlimen dan boleh
membawa usul tergempar mengenai perkara itu di parlimen," katanya
lanjut.
Kenyataan Khaled ini merupakan rentetan terhadap dakwaan Mahathir
baru-baru ini yang kononnya Johor akan memberikan kerakyatan Malaysia
kepada 700,000 rakyat Cina berdasarkan keperluan dan pembangunan 60
projek negeri yang boleh diduduki oleh 1.5 juta orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.