Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Memang
mengikut protokol diplomasi, jika sesebuah negara berasa kurang senang
cara negara lain menangani sesuatu isu antarabangsa, ia wajar membuat
bantahan rasmi terhadap negara berkenaan.
“Saya sendiri berjumpa pihak berkuasa Myanmar dan bawa mereka lihat
kebaikan demokrasi kerana pada peringkat itu (antara eksekutif) kita tak
perlu menunjuk perasaan,” kata mantan perdana menteri, Tun Mahathir
Mohamad.
Justeru itu, beliau berasa bingung mengapa Datuk Seri Najib Razak tidak
menggunakan kuasa selaku perdana menteri, sebaliknya turut menunjuk
perasaan bersama pemimpin PAS, di Stadium Titiwangsa Ahad lalu.
Mahathir merumuskan Perhimpunan bagi mempamerkan Solidariti Bersama
etnik Rohingya, yang disertai Najib itu tidak mengikut kesopanan
diplomasi.
“Hari ini saya menunjuk perasaan tetapi saya tidak lagi dalam
kerajaan,” kata Mahathir menyindir dan meremehkan tindakan Najib itu.
Yang pasti perhimpunan solidariti itu bukan dianjurkan oleh kerajaan.
Perkara ini sudah dijelaskan oleh Najib dalam perhimpunan agung Umno
sehari sebelumnya bahawa pembabitan beliau ialah sebagai presiden Umno
yang menentang kezaliman yang sedang berlaku.
Perhimpunan itu dikelolakan 200 badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu
menarik perhatian badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) supaya menghentikan
penghapusan kaum di Myanmar.
Persoalannya, sentimen rakyat Malaysia itu sudah pun dimaklumkan kepada
pihak berkuasa Myanmar apabila isu “orang hanyut Rohingya” melanda
negara-negara Thailand, Malaysia dan Indonesia kira-kira dua tahun lalu.
Bagaimanapun tragedi zalim itu seolah-oleh tidak diambil endah oleh
kerajaan Myanmar. Sebaliknya, kekejaman yang dianggap penghapusan etnik
terancang semakin memburuk.
Ini menimbulkan persoalan, apa lagi tindakan yang boleh diambil oleh
kerajaan berdaulat seperti Malaysia. Kedegilan dan ketidakpedulian
Myanmar adalah ketara dan boleh dirumuskan sama keangkuhan rejim Israel
terhadap rakyat Palestin.
Salah satu tindakan kerajaan Malaysia ketika itu dipimpin oleh Tun Dr
Mahathir ialah menganjurkan perhimpunan solidariti rakyat Malaysia
dengan nasib rakyat Palestin bersama pemimpin-pemimpin PAS.
Pada malam 9 Mei 2002, Di Dewan Bahasa dan Pustaka, Mahathir dan
presiden PAS, Almarhum Datuk Fadhil Nor berkongsi pentas mengutuk
kezaliman Israel. Peristiwa itu disiarkan secara langsung di
televisyen.
Tidakkah Mahathir berkuasa membuat aduan dan bantahan rasmi pada
badan-badan dunia supaya menghukum Israel menghentikan kezaliman mereka
itu?
Tidakkah Mahathir dalam ucapannya menggunakan hujah bahawa solidariti
rakyat Malaysia bersimpati nasib rakyat Islam Palestin? Tidakkah yang
erat menghubungkan tindak tanduk perdana menteri Malaysia ketika itu
ialah Islam?
Kini mengapa apabila Umno bekerjasama dengan PAS sekali lagi
menunjukkan solidariti dengan rakyat Islam Rohingya di Myanmar Mahathir
merumuskan bahawa demonstrasi adalah hak rakyat untuk memprotes kerajaan
sahaja?
Beliau menjadikan pendiriannya sekarang sebagai seloroh bahawa hari ini
beliau mengambil bahagian dalam demonstrasi jalanan kerana tidak lagi
pemimpin kerajaan.
Sewajarnya, beliau melihat isu Rohingya ini sebagai satu isu
kemanusiaan, sepertimana pendiriannya ketika menyertai himpunan
solidariti untuk rakyat Palestin pada 2002.
Lanjutan itu, sewajarnya juga beliau mengambil inisiatif mengajak parti
DAP yang tidak lagi “cauvinis” di matanya itu supaya turut menyertai
himpunan berkenaan.
Apakah Mahathir khuatir rumusannya tentang DAP tidak lagi rasis itu
silap dan bimbang DAP enggan turut serta kerana masih dihinggap penyakit
Islamofobia hanya kerana mangsa kekejaman itu ialah orang Islam?
Berlaku jujurlah Mahathir. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam
dengar-dengar. Rakyat dapat membaca bahawa beliau kembali ke gelanggang
politik bukan kerana mahu menyelamatkan Malaysia tetapi memastikan
sejarah Malaysia moden berakhir dengan peletakan jawatannya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.