KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan Myanmar menghentikan penghantaran
pekerjanya ke Malaysia tidak akan memberi kesan buruk kepada negara
berikutan rakyat tempatan akan diminta untuk mengisi kekosongan itu,
kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.
Beliau berkata, selain Myanmar, terdapat 14 lagi negara sumber,
termasuk Indonesia dan Bangladesh yang boleh diambil sebagai pekerja di
negara ini.
"Tambahan pula, kita mahu menggalakkan lebih banyak pekerja tempatan untuk mengisi sebarang kekosongan.
"Sebab itu kita meneruskan program-program yang bersesuaian untuk pengambilan pekerja tempatan," katanya pada Rabu.
Beliau mengulas mengenai laporan bahawa Kerajaan Myanmar menggantung
penghantaran pekerja rakyatnya ke Malaysia berikutan hubungan diplomatik
yang kurang baik antara kedua-dua negara susulan krisis yang menimpa
etnik Rohingya di Myanmar.
Menurut Myanmar Times, Menteri Buruh, Imigresen dan Kependudukan
mengeluarkan kenyataan mengumumkan penggantungan program untuk
menghantar pekerja ke Malaysia, di mana ia disahkan oleh Persekutuan
Agensi Penggajian Myanmar.
Ismail yang mengakui kepentingan mempunyai pekerja asing terutama dalam
sektor buruh tetapi mempersoalkan, "kenapa kita perlukan terlalu
banyak?".
Menurut Kementerian Dalam Negeri, kira-kira 140,259 warga Myanmar memegang permit pas kerja sementara di negara ini.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin
Bardan berkata, beliau tidak menerima sebarang notis rasmi daripada
Kerajaan Myanmar berhubung dakwaan ia melarang rakyatnya untuk datang
bekerja di Malaysia.
Menurut Shamsuddin, beliau hanya mengetahui perkara tersebut
sebagaimana yang dilaporkan Myanmar Times, akhbar berbahasa Inggeris di
negara itu.
Shamsuddin berkata, walaupun sekiranya penggantungan bekalan buruh itu
adalah benar, ia tidak akan memberikan kesan jangka pendek yang ketara,
dengan syarat pekerja Myanamar yang telah berada di sini tidak ditarik
serta-merta.
"Namun begitu, perlu diambil perhatian bahawa kehadiran pekerja di sini
kerana permit kerja sah mereka. Selepas tamat tempoh permit, mereka
akan dihantar pulang.
"Kebanyakan pekerja asing dari Myanmar bekerja dalam industri
pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian,"
tambahnya.
Menurut statistik MEF, kira-kira 72 peratus pekerja warga Myanmar di
Malaysia bekerja dalam industri pembuatan, pembinaan (13 peratus),
perkhidmatan (11 peratus) dan baki dalam perladangan dan pertanian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.