Oleh Haizal Yathiran
SHAH ALAM: Susulan beralih ke pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad hari
ini secara terbuka memuji DAP selepas sekian lama mencemuh parti itu
sebagai rasis dan pengamal politik perkauman.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mendakwa beliau kini menyedari bahawa DAP sebagai parti pelbagai bangsa.
"Lagu parti DAP adalah dalam bahasa kebangsaan. Persidangan itu juga dalam bahasa kebangsaan.
"Saya lihat pelbagai latarbelakang yang hadiri persidangan ini. DAP
bukan sahaja parti Cina tetapi parti berbilang kaum. Mereka mempunyai
ahli bukan Cina yang memegang jawatan tertinggi dalam parti," kata Dr
Mahathir dalam sidang medianya di IDCC, Shah Alam, hari ini.
Dr Mahathir membuat kejutan apabila hadir ke Konvensyen DAP, meskipun pada awalnya beliau dilaporkan tidak dijemput parti itu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu kehadiran Dr Mahathir
dalam konvensyen parti itu adalah 'kejutan' dengan menghantar jemputan
pada saat-saat akhir.
Dr Mahathir turut diminta mengulas ucapan Presiden Umno, Datuk Seri
Najib Razak bahawa Umno kini berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) yang
dipimpin DAP, untuk menghadapi Piliahan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan
datang.
Ujarnya, DAP tidak boleh bersendirian dan perlukan parti pembangkang yang lain untuk berdepan dengan Umno.
Bekas perdana menteri itu juga memberitahu, PPBM akan menyertai DAP, PKR dan AMANAH dalam Pakatan Harapan, tidak lama lagi.
"Umno dalam Barisan Nasional (BN) dan DAP bersama Pakatan Harapan,
dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyertai mereka tidak lama lagi,"
jelas Dr Mahathir.
"DAP tidak mempunyai cara untuk melakukannya secara sendirian dalam
membentuk kerajaan, ia perlu pakatan dan itulah sebabnya kita mempunyai
pakatan pembangkang," katanya.
PPBM sepatutnya menyertai Pakatan Harapan pada Konvensyen PKR bulan
lalu, namun terpaksa menangguhkan hasratnya selepas presidennya, Tan Sri
Muhyiddin Yassin bertegas mahu meneliti terlebih dahulu intipati yang
ada dalam perjanjian pakatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.