Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno menyokong ketegasan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak mengutuk kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik
Rohingya di negara itu.
Menurut Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, Najib tidak perlu
berundur sebaliknya terus ke depan dalam menyatakan bantahan terhadap
tindakan melampaui batas kemanusiaan, kerajaan itu.
"Perdana Menteri juga tidak harus berganjak walaupun ada sindiran dan
suara (sumbang). Pimpinan Myanmar harus tahu bahawa komuniti
antarabangsa tidak boleh menerima sebarang tindakan yang bercanggah
dengan kemanusiaan.
"Ini adalah soal kemanusiaan dan kebetulan berlaku kepada umat Rohingya
yang beragama Islam. Tapi kalau berlaku kepada umat yang bukan Islam,
ini adalah satu yang bercanggah dengan prinsip kemanusiaan," katanya
ketika ditemui Antarapos.
Ujarnya kerajaan Myanmar tidak seharusnya bertindak kejam ke atas etnik
Rohingya, yang pada asalnya merupakan warganegara mereka sendiri.
Rohingya adalah warganegara Myanmar, namun pada 1982 kelompok minoriti ini diisytiharkan pendatang di tanah air sendiri.
"Saya fikir Myanmar harus terima realiti lambat laun dunia akan
mengutuk sebarang perbuatan yang bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.
"Malaysia mungkin bertindak lebih awal dan sudah tentu sebarang ugutan
yang bersifat cuba menekan atau cuba menghalang mana-mana pemimpin dunia
memberikan perhatian kepada perkara ini adalah sesuatu yang tidak boleh
dibiarkan," tegas Annuar.
Malaysia hari ini melakar sejarahnya tersendiri apabila menyaksikan dua
presiden daripada PAS dan Umno iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan
Najib berkongsi pentas dalam melahirkan solidariti terhadap warga
Rohingya.
Najib dan Hadi dalam ucapan masing-masing menyatakan Malaysia selaku
sebuah negara Islam tidak boleh berdiam diri terhadap segala bentuk
kekejaman yang dilakukan Myanmar terhadap rakyatnya.
Mengulas perkara itu, Annuar berkata Najib dan Hadi berjaya membuktikan
mereka boleh mengenepikan perbezaan ideologi politik dan bersama dalam
isu-isu kemanusiaan.
"Saya fikir perkara yang berkaitan dengan agenda yang menyentuh agama
dan kepentingan bersama kita tidak harus mengutamakan perbezaan
kepartian dan politik. Ada tempat dan batasnya dalam soal nilai sejagat
pada agama bangsa dan negara, kita harus bersatu.
"(Kerjasama) politik itu kita tengok kemudian, buat masa ini kita
jangan utamakan faktor kepartian dan politik dan yang penting kita
bersama dalam soal nyawa dan maruah yang sedang berlaku (di Myanmar).
"Puluhan ribu rakyat di sana sedang ditindas, dibunuh, dirogol dan kita
kita tidak boleh berlengah-lengah dan berpolimek dan retorik sebab
dunia memerhatikan.
"Kalau ada kebangkitan di Indonesia, Brunei, Thailand dan seluruh dunia
sudah tentu memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar. Kalau kita pilih
untuk sopan dan berdiam diri maka saya fikir mereka akan pejam mata dan
biarkan perkara itu berlaku," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.