shahbudindotcom
Sebenarnya
saya amat jarang sekali membaca berita Utusan secara online. Dalam
bentuk akhbar pula, yang sahnya sejak Najib Razak menjadi Perdana
Menteri, saya tidak pernah lagi membeli akhbar berkenaan.
Di kedai pun, selalunya bertimbun-timbun tidak disentuh orang meskipun waktu sudah menjelang malam.
Tetapi
kali ini, berita mengenai "pendedak" yang seorang ini hanya ada dalam
Utusan dan Malay Mail online saja. Portal lain nampaknya tidak berminat
lagi memberi ruang kepadanya.
Urutan beritanya begini...
Mula-mula
dia mendedahkan kononnya sudah ada persetujuan antara Tun Mahathir
Mohamad dengan Lim Kit Siang untuk melantik Mukhriz Mahathir sebagai
Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU 14 akan datang.
Kononnya, pertemuan dan perbincangan antara Tun Mahathir dengan Lim Kit Siang itu berlangsung pada 3 Disember lalu.
Kemudian
Mukhriz menafikan perkara itu sambil mencabar orang yang membuat
tuduhan itu agar mengemukakan bukti dan mendedahkan sumber maklumat yang
diperolehinya.
Jika
gagal, tegas Mukhriz, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan
saman kerana membuat fitnah dan tuduhan palsu terhadap dirinya.
Setelah
dicabar, sepatutnya orang itu tidak berlengah-lengah lagi menunjukkan
bukti bagi mengesahkan segala dakwaannya. Maklumlah, dakwaannya bukan
perkara main-main.
Sebaliknya,
orang tua itu tampil bersuara dengan meminta Mukhriz membuat akuan
bersumpah bagi menafikan beliau mahu menjadi Perdana Menteri.
Dia
juga menggesa Lim Kit Siang membuat akuan bersumpah yang sama bagi
mengisytiharkan tidak pernah berhasrat untuk dilantik menjadi Timbalan
Perdana Menteri.
Yang
dicabar dan diminta oleh Mukhriz kepada orang tua itu ialah agar
mengemukakan bukti terhadap dakwaan yang dibuatnya, tetapi yang
dilakukannya agar Mukhriz membuat akuan bersumpah pula.
Ibarat gula yang diminta, tetapi garam yang ditunjukkannya.
Mana bukti yang diminta oleh Mukhriz itu? Ada atau tidak ada?
Buat apa meminta Mukhriz membuat akuan bersumpah menafikan mahu menjadi Perdana Menteri?
Apa
kena-mengena antara akuan bersumpah tidak mahu menjadi Perdana Menteri
dengan dakwaan kononnya sudah ada persetujuan antara Tun Mahathir dengan
Lim Kit Siang menafikan berhasrat mahu menjadi Perdana Menteri?
Membuat
tuduhan kononnya Mukhriz sudah dipersetujui sebagai calon Perdana
Menteri sangat jauh bezanya dengan hasrat yang tersimpan di dalam hati
untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.
Apa pulak salahnya jika menyimpan hasrat dalam hati untuk menjadi Perdana Menteri?
Zahid
Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin pun barangkali ada
hasrat dalam hati masing-masing untuk menjadi Perdana Menteri juga. Ia
bukanlah suatu kesalahan.
Jika
ada seorang tua yang selalu bercakap berbolak-balik dan lain diminta,
lain pula yang diberi, apa agaknya kita mahu kategorikannya?
"Sewel",
"gila", "bengong", pendedak yang semata-mata hidupnya diatur oleh tauke
dedak atau sudah sampai waktunya untuk banyak-banyak beribadah dan
berada di atas sejadah?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.