shahbudindotcom.
Najib
Razak akhirnya tidak mampu lagi terus berdiam diri berhubung tangkapan
demi tangkapan oleh SPRM sejak kebelakangan ini dengan mengingatkan
penjawat awam agar tidak mengambil hak rakyat serta menjauhi gejala
rasuah.
"Langkah yang diambil sehari dua ini oleh SPRM mengingatkan pada kita bahawa jangan ambil hak rakyat. Itu rakyat yang punya.
"Jangan
ambil hak rakyat sebab kita buat peruntukan, program disediakan
segala-galanya, bajet untuk rakyat. Kalau berlaku ketirisan, rakyat akan
hampa dan hilang keyakinan," kata Perdana Menteri dalam perhimpunan
bulanan JPM pagi tadi.
Hehehehe...macam-macam tafsiran kedengaran bila Najib berkata demikian.
Daripada
orang besar-besar hingga penyepak kertas di kaki lima, semuanya hanya
mampu senyum-senyum sambil mencebikkan bibir saja mendengarnya.
Ada
yang memberi dua kerat pantun, "Mengata dulang paku serpih, diri
sendiri lagi lebih" sebagai respon kepada kata-kata Najib itu.
Ada
pula yang mengatakan Najib "telah menepuk dulang air sehingga basah
memercik ke mukanya sendiri" bila mengingatkan penjawat awam menjauhi
rasuah dan jangan mengambil hak rakyat.
Siapa penjawat awam?
Bukankah
anggota pentadbiran kerajaan yang terdiri daripada ahli kabinet juga
merupakan mereka yang bertanggungjawab dan berperanan kepada orang awam?
Bahkan
oleh kerana kuasa yang lebih besar yang ada pada anggota pentadbitan
kerajaan seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan
menteri-menteri dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan dasar,
program dan tender-tender besar, keutamaan menjauhi rasuah dan tidak
mengambil hak rakyat itu sebenarnya jauh lebih mustahak lagi bagi
mereka.
Penjawat awam pula hanyalah menjadi penyampai atau pelaksana kepada dasar-dasar yang dilaksanakan itu.
Bermakna,
dari segi tanggungjawab kepada orang awam atau rakyat dalam menjauhi
rasuah serta tidak mengambil hak rakyat, kedua-duanya iaitu anggota
pentadbiran dan kakitangan kerajaan biasa yang di bawah JPA, mempunyai
tanggungjawab dan keutamaan yang sama untuk sama-sama mengelakkan diri
daripada rasuah dan mengambil hak rakyat.
Kenapa
hanya penjawat awam saja yang diberi ingatan, tetapi tidak kepada
orang-orang politik yang menjadi anggota pentadbiran kerajaan?
Apakah orang politik begitu suci dan bersih?
Dalam
kes SRC International yang melibatkan mengalirnya wang RM42 juga ke
akaun peribadi Najib misalnya, di mana beliau sendiri mengaku
menerimanya tetapi mengatakan tidak tahu ia datang daripada syarikat
tersebut, di mana hak rakyat telah diambil dalam perkara tersebut?
Tidakkah
wang RM42 juta itu dikaitkan dengan pinjaman dana RM4 bilion daripada
KWAP atau Kumpulan Wang Amanah Pencen yang diperolehi oleh SRC
International melalui peranan yang dimainkan oleh Najib selaku Perdana
Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat 1MDB?
Kalau
penerima tidak diambil tindakan, bagaimana dengan pemberinya sedangkan
ia melibatkan wang terkumpul orang-orang pencen yang boleh dimanfaatkan
untuk perkara-perkara lebih besar dan berfaedah?
Sesuai
dengan peringatan Najib agar "menjauhi rasuah dan jangan ambil hak
rakyat" itu, tetapi kenapa sehingga ini dua Pengarah SRC International,
Nik Faisal Arif Kamil dan Suboh Md Yassin masih menghilangkan diri dan
seolah-olah dilindungi?
Lagi
pula, jika Najib mengatakan beliau tidak tahu wang yang diterimanya itu
berpunca daripada SRC International dan menyangka ia adalah sebahagian
daripada derma RM2,600 juta yang diterimanya daripada kerabat Diraja
Arab, hujah itu seharusnya diadili oleh mahkamah, bukan di meja Peguam
Negara?
Tidak
hairanlah jika Bahri Mohd Zin, bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas
SPRM lebih sanggup bersara awal daripada terus menanggung dosa kepada 30
juta rakyat Malaysia.
"Saya
tidak mahu berbohong dengan diri sendiri,saya rasa amat berdosa kalau
saya masih berkhidmat kerana agama kita secara jelas melarang untuk
cenderung kepada kezaliman dan ketidakadilan...cenderung pun tak boleh,
apatah lagi terus berkhidmat."
Maka, kata-kata Najib pagi tadi sebenarnya langsung tidak bererti apa-apa.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan