Halaman

Rabu, 8 Februari 2017

Bangkit isu BMF dan forex tindakan bodoh

Berita Daily Staff

Pemuda Umno sepatutnya bertanya kepada Perdana Menteri perkembangan isu 1MDB dan SRC

KUALA LUMPUR: Mempertikai dan membangkitkan isu yang berlaku 30 tahun lalu merupakan tindakan bodoh sedangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International (SRC) lebih penting, kata Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Mohamad Ezam Mohd Noor.

Ujarnya, pelabur asing sudah tentu hairan melihat perkembangan dalam negara apabila Pemuda Umno heboh membincangkan  isu skandal Bumiputra Malaysian Finance Ltd (BMF) dan isu kerugian RM44 bilion oleh Bank Negara ekoran kegagalan dagangan mata wang asing (forex) yang berlaku lewat 1980-an.

“Isu BMF, Forex agenda bodoh dan tolol yang terus menjahamkan negara dan memudaratkan rakyat.”
“Anak-anak muda Malaysia, lebih tepat lagi pemimpin pemuda parti pemerintah di negara ini bercakap soal 30 tahun lalu.

“Mereka (warga asing dan pelabur) juga pastinya bertanya bagaimana pemuda usia 30-an ini bercakap soal 30 tahun lalu. Di saat mereka baru dilahirkan.

“Inilah imej Malaysia yang dipamerkan oleh Umno hari ini, imej yang bukan sahaja ganjil tapi penuh dengan kebodohan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kerugian yang dialami Bank Negaradalam pasaran pertukaran asing semasa pentadbiran Dr Mahahtir Mohamad.

Tambah Ezam, Pemuda Umno sepatutnya mengajukan soalan kepada Perdana Menteri Najib Razak tentang 1MDB dan SRC yang sehingga kini tiada perkembangan termasuklah meminta penjelasan mengenai Malaysia Official 1 (MO1).

“Apakah mereka sedar negara ini sudah hilang jauh lebih besar dari itu? Malaysia sudah hilang maruahnya.Malaysia sudah hilang keyakinan dunia.”

Pemuda Umno sepatutnya tanya PM (Perdana Menteri), nama-nama yang jelas telah disebut dalam laporan-laporan siasatan dan mahkamah dalam dan luar negara.

“Pemuda Umno sepatutnya tanya PM adakah beliau MO1 kerana seluruh dunia mahu jawapan ini dan jawapan ini penting untuk kembalikan keyakinan dunia kepada negara ini,” ujar beliau.

Katanya lagi, keyakinan rakyat akan dapat dikembalikan sekiranya isu penyelewengan terbesar dalam negara masa ini mampu diselesaikan bukannya terus membangkitkan jenayah yang pernah berlaku sebelum ini dan telah ditentukan hukumannya.

“Keyakinan dunia kepada negara ini tidak akan kembali dengan teriakan kisah 30 tahun lalu. Keyakinan dunia hanya akan kembali dengan tindakan kerajaan hari ini terhadap jenayah hari ini.

“Kerajaan lalu telah ambil tindakan terhadap jenayah lalu. Ada tangkapan dan hukuman kes BMF. Ada yang hilang jawatan kes Forex.

“Kertas putih dibentang dan dibahas di Parlimen. Tindakan mungkin tidak sempurna dan betul semuanya tetapi pokoknya dunia tidak hilang keyakinan kepada Malaysia masa itu seperti hari ini kerana mereka lihat ada tindakan diambil,” katanya lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.