Pembinaan rumah untuk mangsa banjir tiga tahun lalu yang tidak siap merupakan projek kerajaan Persekutuan
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya tidak menjaga tepi kain orang dan memastikan negeri yang ditadbirnya itu tidak jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan datang.
Naib Presiden PAS itu juga berkata, Guan Eng seharusnya memikirkan penyelesaian masalah banjir kilat di Pulau Pinang daripada mencampuri urusan pentadbiran kerajaan PAS Kelantan.
“Saya mahu nasihatkan dia supaya jaga Pulau Pinang dulu, pastikan Pulau Pinang tidak jatuh dalam pilihan raya yang akan datang,” kata Mohd Amar kepada Berita Daily, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Guan Eng bahawa kerajaan PAS Kelantan gagal mengurus negeri itu dengan baik apabila mangsa banjir sejak tiga tahun yang lalu masih gagal menerima rumah.
Mohd Amar turut menunding jari menyalahkan kerjaan Persekutuan berhubung isu pembinaan rumah mangsa banjir yang masih belum selesai di negeri itu.
“Berapa orang yang tidak dapat lagi itu ada masalah teknikal, majoritinya sudah dapat. Itu (yang tidak dapat) di bawah kerajaan Persekutuan, kebanyakan yang belum siap itu di bawah kerajaan Persekutuan,” katanya
Tambahnya, Guan Eng sepatutnya mendapatkan maklumat yang sahih sebelum mengkritik kerajaan negeri Kelantan.
Tidak cukup dengan itu Setiausaha DAP itu juga dinasihatkan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di negeri itu.
“Saya harap dia ini sebagai seorang Ketua Menteri perlu mendapatkan maklumat yang jelas sebelum mengeluarkan kenyataan, jangan menunjukkan sikap angkuh merasakan dirinya pandai daripada orang lain
.
“Selesaikan isu banjir kilat dulu. Macam mana seorang yang pandai mentadbir negeri tiba-tiba banjir kilat berlaku? Bukan sekali beberapa kali sehingga terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan Persekutuan,” jelas Mohd Amar.
Guan Eng dilaporkan sebagai berkata, Kelantan gagal diuruskan secara baik oleh PAS kerana isu pembinaan rumah baru bagi mangsa banjir masih belum selesai dan dalam masa yang sama rakyatnya masih dibelenggu kemiskinan.
Sementara itu, Mohd Amar turut menafikan parti itu cuba memecah-belahkan parti pembangkang ketika mencadangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR meninggalkan Pakatan Harapan untuk mengalahkan BN.
Sebaliknya menurut beliau, pakatan tersebut yang memburukkan prestasi parti pembangkang di mata rakyat dengan cara menyelar PAS secara konsisten.
“Tidak ada (PAS memainkan peranan pecah belahkan pembangkang) kita mahu tewaskan BN, pendekatan yang diambil Pakatan Harapan itu yang memecah belahkan pembangkang.
“Dengan tindakan menyelar PAS, Dr Mahathir Mohamad sendiri menyelar PAS, itu yang memecah belahkan pembangkang. Macam mana kita mahu kerjasama kalau Dr Mahathir dan Lim Guan Eng asyik menyerang PAS sahaja.
“Kami terpaksa menjawablah kalau kena serang sepatutnya pembangkang tidak serang PAS,” katanya lagi,
Katanya lagi, beliau hanya memberikan pandangannya dengan menganggap formula itu akan menguatkan lagi parti pembangkang namun tidak memaksa mana-mana pihak untuk menerimanya.
“Saya mengemukakan pandangan dan saya ada alasan saya sendiri kalau dia (Dr Mahathir) tidak setuju, tidak setujulah. Saya pun tidak paksa dia setuju, saya mengemukakan pandangan,” ujar beliau.
Semalam Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad tidak menganggap cadangan PAS agar kedua-dua parti itu bersama-sama PKR meninggalkan Pakatan Harapan demi meningkatkan pengaruh parti pembangkang pada pilihan raya yang akan dayang sebagai formula yang baik sebaliknya ia dilihat akan memberikan kemenangan kepada BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.