Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Exco Selangor Elizabeth Wong menyifatkan bekas menteri besar
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai seorang 'pelupa' apabila
mempersoalkan caj 20 sen yang dikenakan bagi setiap beg plastik di
negeri itu.
Walhal menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar
dan Teknologi Hijau itu, ketika Khalid memimpin Selangor, beliau
bersetuju dengan cadangan kempen tersebut yang sebelum ini dilaksanakan
pada setiap hari Sabtu.
"Saya rasa Khalid mungkin sudah lupa," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia Alam, petang tadi.
Dua hari lalu Khalid mempersoalkan kemana akhirnya caj 20 sen itu
dibelanjakan dan wujudkah sistem audit bagi memantau wang berkenaan.
Beliau juga menyatakan pendiriannya kempen berkenaan tidak akan
berjaya, melainkan dilaksanakan menerusi perubahan budaya dan bukannya
menambahkan beban pengguna.
Khalid juga menggesa kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali itu segera menghentikan program tersebut jika tiada pelan
alternatif yang akhirnya akan memangsakan rakyat.
Sementara itu, Elizabeth meminta meminta tempoh sehingga enam bulan
untuk kerajaan negeri membuktikan keberkesanan "Kempen Selangor Bebas
Plastik".
"Dalam tempoh enam bulan akan datang, kita akan buat perbandingan
dengan tempoh enam bulan yang lalu, sama ada bilangan (penggunaan)
menurun, meningkat atau sama, kita akan lihat nanti," jelas Elizabeth.
Diminta mengulas kenyataan Azmin bahawa pelaksanaan caj berkenaan
disokong oleh rakyat Selangor, berdasarkan hasil tinjauan melibatkan 80
orang responden , Elizabeth bagaimanapun mengakui tidak tahu hal itu.
"Itu kajian bukan dari pejabat saya. Saya tidak tahu. Tapi saya akan lihat.
"Ini kajian atau apa? Sebab pejabat saya tidak ada lakukan kajian lagi.
Melainkan 'media tracking' dan respon sahaja," katanya sambil menambah
akan meneliti hasil sokongan yang kononnya diperolehi daripada tinjauan
itu.
Peniaga kecil-kecilan tak ikut kempen
Dalam masa yang sama juga Elizabeth diajukan tindakan yang akan
dilakukan terhadap peniaga kedai-kedai runcit dan kecil-kecilan yang
masih meneruskan penggunaan beg plastik tanpa sebarang caj.
"Jika begitu sesiapa yang ada aduan boleh maklum kepada PBT sebab ia di
bawah syarat-syarat perlesenan. Siapa yang nampak dan rasa tak patut
boleh buat aduan kepada PBT, bukan pejabat saya," ujarnya lagi.
Kempen Selangor Bebas Plastik yang dilaksanakan kerajaan Pakatan
Harapan (PH) dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu dan menerima pelbagai
kritikan daripada pelbagai pihak.
Caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikenakan kepada pengguna
didakwa akan digunakan bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial
(CSR) memelihara alam sekitar di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan