KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya
membidas kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu membina sebuah hospital
patuh syariah pertama di Malaysia.
Menurutnya, semua hospital, klinik serta fasiliti kesihatan kerajaan di negara ini adalah patuh syariah.
Malah katanya, segala yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hampir sepenuhnya mematuhi kehendak syariah.
"Nampaknya exco tersebut tidak tahu atau sengaja hendak menafikan usaha
yang telah dibuat oleh KKM selama ini untuk memastikan semua hospital
dan klinik, semua fasiliti kesihatan kerajaan patuh syariah," katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam
Negeri dan Pengguna Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang
pada November lalu dilaporkan berkata hospital itu akan dibina di atas
tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di Bayan Baru.
Dr Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata susulan kenyataan
exco itu beliau mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) berhubung maksud patuh syariah.
Berdasarkan penjelasan Jakim, beliau berpandangan semua yang dibuat
oleh KKM hampir sepenuhnya mematuhi kehendak syariah merangkumi pakaian
seragam staf serta amalan di wad pesakit termasuk wad bersalin.
Bagi wad bersalin, Dr Hilmi berkata kini si bapa dibenar mengazankan atau qamat anaknya.
"Cuma kalau hendak pilih doktor perempuan untuk kendalikan ibu bersalin
belum boleh lagi kerana kita belum mencapai jumlah doktor perempuan
yang mencukupi," katanya menambah doktor perempuan kurang berminat
bidang sakit puan kerana bidang itu amat mencabar.
Selain itu Dr Hilmi berkata semua ubat dan vaksin yang digunakan oleh KKM adalah halal.
"Yang tidak halal cuma rotavirus untuk pencegahan cirit-birit dan itu
tidak dibeli oleh KKM. Ia hanya terdapat di hospital atau klinik swasta
tertentu sahaja. Untuk pastikan vaksin benar-benar tidak ada unsur
khinzir, bahagian farmasi KKM buat pemeriksaan DNA dan pastikan tidak
ada DNA khinzir," katanya.
Katanya jika ubat dan vaksin dikeluarkan dalam negara, pengeluar wajib
mendapatkan pensijilan halal Jakim dan pengeluaran pula dilakukan oleh
kilang berstatus Amalan Pengilangan Baik (GMP).
Dr Hilmi juga mendedahkan ramai pakar pembedahan beragama Islam
melaksanakan amalan yang dianjur Islam iaitu menunaikan solat sunat
sebelum memulakan pembedahan selain menjamak solat fardu jika pembedahan
dijangka mengambil masa.
Selain itu, beliau berkata KKM juga telah melancarkan Kempen Hospital
Mesra Ibadah tiga tahun lalu dengan pembimbing ditempatkan di hospital
tertentu bagi mengajar cara sembahyang kepada pesakit walaupun dalam
keadaan terlantar.
"Oleh itu, jika exco kerajaan negeri mahu mendakwa kerajaan Pulau
Pinang pimpinan DAP adalah yang pertama akan membina hospital patuh
syariah di Malaysia, tengok-tengoklah dahulu apa yang telah kami buat di
KKM," katanya.
Media melaporkan hospital patuh syariah dikenali Hospital Islam Pulau
Pinang yang akan dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dengan kos RM280
juta itu dijangka beroperasi pada 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.