PELABUHAN KLANG: Kapal 'Nautica Aliya' yang digunakan untuk misi
kemanusian 'Food Flotilla For Myanmar' memulakan perjalanannya hari ini
selepas mengalami masalah teknikal sehari sebelumnya.
Ketua misinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kapal
berkenaan berpatah balik ke Pelabuhan Klang pada pukul 11 malam Jumaat
apabila terdapat tali sepanjang 10 meter tersangkut pada kipas kapal.
"Tiga penyelam digunakan untuk memotong tali yang hampir memasuki
bahagian enjin kapal...mereka mengambil masa hampir 10 jam untuk
memotong tali itu.
"Kapal berlayar semula pada pukul 7 pagi Sabtu dan kini berada di Selat
Melaka selain dijangka sampai di Pulau Jarak, Perak pada pukul 7
malam," katanya dalam sidang media di atas kapal itu.
Ditanya adakah kapal itu membawa muatan berlebihan Abdul Azeez berkata
kapal berkenaan membawa muatan yang bersesuaian dan ianya selamat untuk
berlayar.
Katanya kapal berkenaan membawa 2,300 tan metrik bekalan makanan dan
ubat-ubatan selepas 500 tan metrik bekalan makanan ditambah ketika kapal
itu berlabuh semula di Pelabuhan Klang.
"Kita telah tambah 500 tan metrik bekalan makanan ketika kerja memotong
tali dibuat oleh penyelam," katanya sambil menambah perjalanan kapal
Nautica Aliya di perairan negara diiringi kapal Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Selain itu, Abdul Azeez turut melahirkan rasa syukur kerana kerajaan
Bangladesh akhirnya membenarkan misi menghantar bantuan ke negara itu.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga yakin misi ini akan
berjaya dan meminta sukarelawan supaya tidak risau, InsyaAllah semua
akan berjalan lancar," katanya.
Misi yang membawa makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, pakaian dan
selimut dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk
sampai ke Yangon serta kem pelarian di Bangladesh.
Misi 'Food Flotilla for Myanmar' adalah anjuran Kelab Putra 1Malaysia
(KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan
kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.