INDONESIA: Kerajaan merancang mengadakan Hari Wartawan Kebangsaan
Malaysia mulai tahun ini bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan
golongan pengamal media terhadap negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
berkata sudah tiba masanya untuk mewujudkan penghargaan tersebut bagi
meraikan golongan pengamal media.
Justeru, katanya, kementeriannya akan berbincang dan bekerjasama dengan
kepemimpinan organisasi media dalam negara bagi memilih tarikh dan
melaksanakan hari wartawan berkenaan sebagai acara tahunan.
“Kita juga akan mengundang Persatuan Wartawan Indonesia untuk
memeriahkan Hari Wartawan Kebangsaan Malaysia sebagaimana yang dilakukan
sempena Hari Pers Nasional yang diadakan di Indonesia pada setiap
tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Ramah Tamah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama
ketua-ketua pengarang dan editor media Indonesia dan Malaysia sempena
Hari Pers Nasional Indonesia yang berlangsung di sini, semalam.
Lebih 40 pemimpin organisasi media Malaysia dan Indonesia menghadiri
majlis itu termasuk Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh, Ketua
Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Hadir sama Penasihat Kanan Agensi Berita Nasional Indonesia (Antara),
Saiful Hadi serta Setiausaha Agung Persatuan Wartawan Indonesia, Hendri
Bangun.
Salleh, juga mengetuai delegasi 20 pengamal media Malaysia bagi
menghadiri majlis perasmian Hari Pers Nasional oleh Presiden Joko
Widodo, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga menghargai kewujudan Iswami (Ikatan
Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia) sebagai satu usaha mengeratkan
hubungan antara wartawan Malaysia dengan wartawan Indonesia.
Katanya, hubungan seumpama itu secara jelas memterjemahkan hubungan serumpun antara rakyat di kedua-dua buah negara.
“Dalam soal serumpun, kita harus meningkatkan lagi hubungan kerjasama
dan harus bersikap terbuka dengan tidak menganggap perbezaan sebagai
penghalang dalam sebarang kerjasama,” katanya.
Sementara itu, Zulkefli yang juga Presiden Iswami Malaysia, berkata,
undangan kepada pengamal media Malaysia untuk menyertai Hari Pers
Nasional Indonesia itu adalah sebagai satu peluang untuk membuka pintu
kerjasama antara rakyat Malaysia dan Indonesia.
Katanya, hubungan itu telah mengeratkan hubungan sesama insan serumpun
dan juga berkongsi persefahaman mengenai persamaan budaya dan bahasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan