Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: PAS Pusat dijangka akan membincangkan berkaitan rundingan
kerjasama parti itu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada
17 Februari depan.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
memberitahu Antarapos, keputusan itu bakal diputuskan Majlis Syura
Ulama (MSU) selepas pimpinan tertinggi PAS selesai bermesyuarat.
"Kita masih menunggu laporan daripada rundingan yang dibuat sebelum ini.
"Mesyuarat terdekat kita pada 17hb (Februari), mesyuarat Pusat. Selepas
diperincikan barulah dibawa ke Majlis Syura," katanya ringkas.
Minggu lalu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
bersama-sama rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
mengadakan mesyuarat secara rahsia di ibu negara bagi merintis jalan ke
arah kerjasama antara kedua-dua parti.
Mesyuarat itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh
kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada
satu tarikh terdekat.
Pada mesyuarat itu juga kedua-dua parti turut membentuk jawatankuasa
teknikal bersama untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan yang
dipersetujui.
Setakat ini pakatan pembangkang masih menunggu hasil positif kerjasama
ini bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu diadakan dalam
menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
Pemerhati politik menjangkakan rundingan ini gagal membuahkan hasil
disebabkan dasar perjuangan PAS dan PPBM jelas bercanggah sama sekali.
Matlamat PPBM adalah mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, ternyata
dasar PAS bertentangan dengan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,
iaitu yang mahu menukar sistem sedia ada berbanding menjatuhkan
individu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan