Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: PAS menyanggah dakwaan Amanah bahawa partinya cuba
memecahbelahkan pembangkang, selepas wujud cadangan supaya PKR dan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai Gagasan Sejahtera (GS).
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya berkata
parti pimpinan Mohamad Sabu itulah yang memecahbelahkan pembangkang.
"Yang memecahbelahkan pembangkang adalah Amanah itu sendiri. Jika kita
lihat parti-parti lain mereka menarik Umno bersama blok pembangkang.
"Tetapi Amanah pula tarik sesama pembangkang, nak isytihar bertanding
di tempat pembangkang dan di tempat PAS menang, malah begitu juga di
Selangor dan Kelantan. Juga hendak tarik ahli-ahli PAS.
"Tindakan dibuat Amanah itulah punca kepada pembangkang berpecah," katanya kepada Antarapos.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pada semalam mendakwa cadangan
PAS supaya PKR dan PPBM keluar daripada Pakatan Harapan (PH) untuk
menyertai Gagasan Sejahtera adalah untuk memecahbelahkan pembangkang.
Cadangan agar PKR dan PPBM keluar daripada PH dibuat Naib Presiden PAS,
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas beliau percaya gabungan
pembangkang mampu menjadi lebih kuat untuk menggugat kedudukan Barisan
Nasional (BN).
Tuan Ibrahim kemudiannya menyelar parti serpihannya itu yang gemar 'mencuri' hak PAS.
"Dahulu ketika Tengku Razali Hamzah ketika menubuhkan Semangat 46,
beliau tarik orang Umno. Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika
menubuhkan PKR, beliau berjaya menarik pembangkang dan ahli-ahli Umno
dalam blok pembangkang.
"Berbeza dengan Amanah asyik tarik ahli PAS, serang Selangor, Kelantan
dan kerusi-kerusi kami bertanding. Jadi rakyat boleh menilai siapa yang
pecah-belahkan blok pembangkang," katanya lagi.
Amanah sebelum ini mengumumkan mahu menang di 40 kerusi Parlimen,
termasuk milik PAS dan PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
Menurut parti pimpinan Mohamad Sabu itu, pemilikan kerusi tradisi yang
dipertahankan sesama parti pembangkang tidak relevan dengan realiti
politik hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan