PAS sentiasa dialukan tapi tiada paksaan jika enggan hanya perlu maklumkan, PPBM dan Pakatan Harapan perlu beri keyakinan kepada rakyat.
PETALING JAYA: Pakatan Harapan perlu menggunakan masa yang ada sebaik mungkin sekiranya mereka mahu menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbanding memujuk pihak yang masih berdolak-dalih untuk bekerjasama dengan mereka, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, parti-parti pembangkang yang kini sedang bekerjasama sepatutnya memanfaatkan masa untuk berhadapan dengan pilihan raya berbanding memujuk PAS yang sehingga kini masih gagal menyatakan pendirian mereka.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masih memujuk PAS untuk membuat kerjasama politik dengan parti pembangkang demi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang akan datang.
“Ada orang yang boleh kita bawa kepada perundingan ada yang kalau kita usaha tidak boleh dibawa berunding.
“Ini mesti kita jadikan usaha terbaik kita, sebagai ahli politik kita tahu harus tahu had kita sebab itu kita mesti praktikal sekiranya pilihan raya diadakan pada Mei atau Oktober.
“Sekarang adalah masa praktikkan kekuatan kita,” katanya di program Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia, di sini.
Kata Salahuddin, perkara yang perlu diutamakan pada masa ini adalah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa PPBM, PKR, Amanah dan DAP adalah parti yang berwibawa untuk menjamin masa depan yang lebih baik.
“Jadi Amanah, PKR, PPBM dan DAP, kita harus bina pemikiran rakyat hanya empat parti ini menjadi pemaju kemajuan,” tambahnya.
Beliau bagaimanapun berkata, PAS sentiasa dialu-alukan sekalipun membuat keputusan untuk bekerjasama dengan parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) .
Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata perbincangan parti itu dengan PAS berhubung kerjasama politik masih belum dimuktamadkan.
Pertemuan pemimpin kedua-dua parti itu sebelum ini hanya menyaksikan penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal untuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang keputusan yang dipersetujui pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan