Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Tidak semua lelaki yang lembut adalah maknyah, tetapi
golongan sedemikan tidak mustahil akan terjebak atau terpengaruh kepada
fenomena tersebut akibat kekeliruan.
Seorang aktivis transgender, Nisha Ayub mengakui wujudnya kekeliruan
dalam golongan 'lelaki lembut' sehingga ramai yang mengambil keputusan
untuk bertukar sebagai maknyah, tanpa mengetahui diri mereka sebenarnya
tergolong dalam kategori 'transverstite'.
"Kalau seorang transverstite, dia lelaki tapi ekspresi dia saja yang
feminin. Dan kalau dia tidak tahu mengenai identitinya, dia akan
terikut-ikut dengan golongan transeksual contohnya.
"Bila dia tak dapat sokongan atau tak dapat informasi, disingkir oleh
masyarakat, maka dia akan berjumpa dengan golongan transeksual, dia akan
fikir dirinya sebagai transeksual... nanti dia terikut-ikut, sepatutnya
dia tak perlu lakukan pembedahan, makan hormon, tapi dia terikut sebab
dia tak dapat informasi. Ia boleh jadi disebabkan pengaruh," katanya
kepada Antarapos dalam satu wawancara baru-baru ini.
Justeru, menurut Nisha, tidak timbul istilah maknyah 'kembali ke
pangkal jalan' kerana ujarnya, apa yang berlaku adalah disebabkan
kekeliruan ekoran individu itu gagal mengenalpasti identiti
masing-masing.
"Kalau nada sendiri tak faham diri anda, keliru, anda akan mengakibatkan masyarakat lebih keliru.
"Contohnya, bila ada kata yang balik ke pangkal jalan dan sebagainya,
perkataan itu sendiri beri persepsi kepada golongan yang lain dan
masyarakat umum," katanya lagi, mengulas fenomena penghijrahan maknyah.
Nisha dalam pada itu meminta golongan sedemikian agar memahami identiti
masing-masing tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, sebelum tampil di
khalayak dengan 'lebih selesa' agar masyarakat juga tidak turut sama
terkeliru.
Ujarnya ini kerana, kekeliruan masyarakat yang kemudian cenderung
memberikan persepsi juga akan menjadi penyumbang kepada golongan
'transverstite' memilih jalan untuk menjadi maknyah disebabkan
didiskriminasi.
Dalam pada itu, Nisha juga meminta masyarakat untuk tidak terus
menjatuhkan 'hukuman' tanpa mengetahui atau mengenali golongan ini
dengan lebih dekat.
"Kita ini manusia, kita perlu makan, hidup, kita perlu disayang, kita ada impian seperti yang lain.
"Saya pohon kepada masyarakat di luar, cuba faham diri kami dan dekati
kami. Jangan terus menghukum tanpa mengenali diri kami. Sebab anda
takkan tahu satu hari nanti mungkin dalam keluarga atau kawan anda,
mungkin golongan LGBT juga," akhirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan