Bendera kebangsaan Korea Utara masih berkibar di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR,
KUALA LUMPUR – Sehingga pukul 8 malam ini, tiada tanda-tanda
Duta Besar Korea Utara, Kang Chol berada di bangunan kedutaaan malah
kenderaan rasminya juga tidak kelihatan sehingga menimbulkan tanda tanya
di mana beliau sebenarnya.
Tinjauan Malaysia Gazette yang berkampung di sini seawal jam
6 pagi tadi mendapati Kang Chol yang kini berstatus Persona Non Grata
tidak langsung berada di sini biarpun beberapa kenderaan rasmi kedutaan
dilihat keluar masuk bangunan berkenaan.
Sehingga jam 7.20 malam tadi, semua kenderaan rasmi kedutaan sudah
meninggalkan premis berkenaan termasuk yang terakhir adalah konsulat
Korea Utara, Kim Yu-song.
Beliau didapati meninggalkan kedutaan bersama-sama dua individu dan seorang kanak-kanak dipercayai anak beliau.
Terdahulu, wakil delegasi tertinggi Korea Utara Ri Tong il dilihat meninggalkan perkarangan kedutaan jam 5.20 petang tadi.
Bekas
Duta Besar Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ri Tong Il
kelihatan menaiki kereta sebelum keluar dari Kedutaan Korea Utara di
Damansara. foto FAREEZ FADZIL
Turut bersamanya dipercayai Hyon Kwang-song selaku Setiausaha Kedua
Korea Utara ke Malaysia yang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kwang-song adalah individu yang dikehendaki Polis Diraja Malaysia
(PDRM) bersama empat suspek Korea Utara yang dikatakan telah kembali ke
Pyongyang ialah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan
Ri Jae Nam, 57.
Kang Chol semalam diberikan tempoh 48 jam untuk keluar daripada
negara ini selepas gagal menghadirkan diri di Wisma Putra dan membuat
permohonan maaf secara bertulis kepada kerajaan Malaysia.
Ia berikutan kegagalan beliau menghadirkan diri di Kementerian Luar pada Jumaat.
Seorang wartawan dilihat berdiri berhampiran papantanda Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR,
Kegagalan Kang Chol menghadirkan diri di Wisma Putra menyebabkan
kerajaan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai Persona Non Grata yang
bermaksud ‘Orang yang Tidak Dihargai’.
Seseorang yang diisytiharkan sedemikian dilarang memasuki atau terus berada di sesebuah negara.
Kang Chol diberikan tempoh sehingga jam 6 petang esok untuk berbuat demikian. – MalaysiaGazette.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan