Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Di tengah-tengah kehangatan isu debat melibatkan Datuk Dr
Asri Zainul Abidin dengan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, kedua-dua
pemimpin itu sebaliknya mengadakan pertemuan dalam suasana harmoni.
Khairuddin yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS menziarahi kediaman Mufti Perlis itu di Kangar, pagi tadi.
Pertemuan itu dikongsikan kedua-dua mereka dalam Facebook masing-masing.
Turut dilampirkan bersama, gambar ketika pertemuan itu berlangsung.
Mohd Asri dalam Facebook beliau mengucapkan terima kasih atas kunjungan Khairuddin.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau atas ziarah ukhuwwah
itu. Beliau datang sendirian dari jauh atas persahabatan antara kami.
"Selama 2 jam kami berbincang penuh harmoni dan cuba sering memahami
sudut pandang masing-masing. Selepas ziarah beliau terus berangkat
pulang ke Terengganu. Semoga Allah memberikan keselamatan untuk
perjalanannya," tulis Mohd Asri.
Sementara itu Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata
pertemuan selama dua jam itu membincangkan pelbagai perkara termasuk
pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah atau Akta 355.
"Banyak perkara dapat dibincangkan hampir 2 jam secara harmoni dalam
suasana ukhuwwah melibatkan pelbagai isu politik tanah air termasuk isu
Pindaan Akta 355 untuk memahami sudut dan titik bersama yang mesti
diperkasakan dan titik perbezaan yang boleh diambil sikap saling
menghormati.
"Terima kasih atas persahabatan ini. Moga ziarah ini bermanfaat untuk Islam dan umatnya," tulis Khairuddin.
Perang kenyataan bersabit pindaan Akta 355 tercetus apabila Mohd Asri
menyifatkan sokongan ke atas langkah tersebut tidak wajib.
Ia disambut Khairuddin yang menyatakan mahu 'menyekeh' kepala mufti berkenaan jika berkata pindaan Akta 355 tidak wajib.
Sehubungan itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) di
UUM, Dr Kamarul Zaman Yusoff mencadangkan agar Mohd Asri dan Khairuddin
bersemuka dalam isu pindaan akta itu.
Khairuddin bersetuju dengan jemputan debat yang ingin diusahakan Mapan tanpa meletakkan sebarang syarat.
Namun, Mohd Asri menjawab beliau hanya akan berdialog mengenai isu ini dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.