ANTARAPOS.COM
PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa menyerahkan kepada peguam untuk
mengambil tindakan terhadap laporan polis dibuat seorang individu yang
mendakwa yayasannya menyeleweng RM2.7 juta.
Ketua Penerangan Umno itu berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan yayasannya adalah fitnah.
“Apakah aduan palsu dan memberi maklumat palsu tidak perlu disiasat
atau ‘tangan ghaib ini’ cukup berkuasa dan boleh mengatur segalanya
mengikut selera mereka?
“Cukuplah saya membiarkan pihak tertentu bebas dengan tindakan mereka.
Apakah undang-undang negara ini sewenang-wenangnya membenarkan tuduhan
atau aduan untuk diviral sehingga pihak tidak bersalah menjadi mangsa
fitnah demi fitnah.
“Apakah ini senjata peras ugut apabila kehendak seseorang atau taiko di
belakangnya tidak ditunaikan atau bila lagi perniagaan seseorang tidak
menjadi?” soalnya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik ke
Facebooknya.
Sebelum ini, seorang pengarah pemasaran sebuah syarikat mendakwa
yayasan milik seorang pemimpin kanan Umno menyeleweng RM2.7 juta yang merupakan geran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau mendakwa dana yang dimohon bagi tujuan pembangunan perisian itu
diberikan kepada sebuah yayasan dipercayai di bawah pemimpin Umno dan
pihaknya diarahkan SKMM supaya bekerjasama dengan yayasan itu.
Bagaimanapun, dua bulan selepas perjanjian ditandatangani, kerjasama
antara yayasan tersebut dan syarikatnya ditamatkan tanpa sebab.
Sehari selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,
pengarah pemasaran itu bertindak menarik balik laporannya dengan
mendakwa perselisihan faham antara beliau dan yayasan itu diselesaikan
secara baik dan meminta isu itu tidak dibangkitkan lagi.
Annuar mengakui terkejut apabila dikaitkan dengan laporan polis dibuat
seorang individu kononnya yayasannya menyeleweng RM2.7 juta, tetapi
hasil semakan dengan
SKMM mendapati suruhanjaya itu tidak pernah memberi projek perisian komputer kepada mana-mana pihak.
“Kita terpinga-pinga dibuatnya berikutan adanya laporan polis dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kemudian dengar pula
laporan polis ditarik balik kerana sudah selesai cara baik,” kata ahli
Parlimen Ketereh itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.