ANTARAPOS.COM
SIPITANG: Pembangkang disifatkan sebagai 'pakatan Ali Baba' kerana
tidak mempunyai persefahaman untuk memilih siapa bakal perdana menteri
jika mereka mendapat kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak juga berkata, pembangkang
'pelik' ekoran hanya bersetuju untuk memilih timbalan perdana menteri,
menjadi individu paling berkuasa, kerana dia yang akan menentukan siapa
bakal perdana menteri.
"Yang paling peliknya timbalan perdana menteri yang akan memilih siapa
yang akan jadi perdana menteri. Ini adalah ali baba, pembangkang adalah
'ali baba'," katanya ketika berucap merasmikan Lebuhraya Pan Borneo
Sabah, di Sindumin di sini hari ini.
"Siapa yang akan jadi perdana menteri mereka belum tentukan. Siapa yang
mahu jadi perdana menteri? (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail),
Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan
yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri; Menteri Kerja Raya
Datuk Seri Fadillah Yusuf dan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid
Shirlin.
Malah Najib juga menyifatkan pembangkang sebagai 'membuyuk' atau
pembohong kerana hanya berani menabur janji manis kepada rakyat tetapi
tidak ditepati.
"Kalau di Semenanjung kata 'temberang'. Tentu kita tidak mahu orang
main janji. Pembangkang hanya boleh janji, tapi itu janji kosong, mereka
boleh janji tapi tinggal di bibir sahaja. Kita tidak mahu janji bulan
dan bintang.
"Kita mahu kemajuan dan perubahan. Kita mahu supaya hari ini lebih baik
daripada semalam. Hari ini, kita tengok kenyataannya, komitmen saya
sebagai perdana menteri, lebuhraya Pan Borneo ini adalah hadiah untuk
rakyat Sabah," katanya.
Najib berkata Barisan Nasional (BN) merupakan sebuah parti yang mempunyai persefahaman dengan kesemua 13 parti komponen.
"Kita akan bangunkan semua rakyat tanpa mengira semua kaum, agama dan
budaya, apatah lagi di Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian dan yang
paling penting Sabah sentiasa bersama kita dalam perjuangan,"
tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan