AMPANG – Demi prinsip menegakkan sistem demokrasi di negara ini,
Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos serta sembilan
pengikutnya enggan mengaku bersalah dan sanggup membayar wang jaminan
RM3,000.
Katanya, walaupun mereka ditawarkan pertuduhan pilihan dengan denda
maksimum RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955
(Akta 336), namun tindakan kekerasan menghalang kumpulan Bersih tahun
lalu perlu dipertahankan.
“Bila kami tak lakukan
kesalahan, kenapa kami perlu mengaku bersalah, walaupun pilihannya
adalah denda RM100 berbanding kami tidak mengaku bersalah dijamin
sebanyak RM3,000 terpaksa turun dan membayar duit peguam.
“Bagi kami ia perkara
tidak adil yang perlu kami pertahankan,” katanya kepada pemberita
selepas beliau dan sembilan pengikutkan dibebaskan dengan jaminan
RM3,000 dan seorang penjamin setiap seorang di Mahkamah Sesyen Ampang
Jaya, di sini, hari ini.
Jamal yang juga ketua
Umno Bahagian Sungai Besar dihadapkan ke mahkamah Sesyen hari ini di
atas dua pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap ahli Parlimen Ampang,
Zuraida Kamaruddin dan kumpulan Bersih di pusat beli-belah Ampang Point
pada 13 November 2016.
Dalam kejadian itu,
Jamal mendakwa ditumbuk oleh individu tidak dikenali ketika pergelutan
antara kumpulan baju merah dan pihak polis mengekori Zuraida
mempromosikan perhimpunan Bersih 5.0.
Dalam pada itu, Jamal mempertikaikan pihak berkuasa yang tidak
mendakwa dan menyiasaat Zuraida serta kumpulan Bersihnya kerana didakwa
mereka yang memulakan provokasi sebelum berlaku kekerasan berkenaan.
“Saya diberitahu tiada siasatan hingga sekarang terhadap Zuraida
dan kumpulan mereka. Ini yang kita pertikaikan, sedangkan perkara ini
berlaku kerana provokasi yang dibuat oleh Zuraida yang mempromosikan
Bersih untuk memburuk-burukkan kerajaan, untuk menghasut orang ramai
menjatuhkan kerajaan dengan protes jalanan.
“Kalau tidak berlakunya provokasi yang dilakukan Zuraida, pada
ketika itu perkara ini tidak akan berlaku. Dari awal telah kami
nyatakan, tiada Bersih, tiada Gerakan Baju Merah,” tegasnya.
Jamal turut mendakwa, sekiranya Zuraida dan kumpulan Bersih tidak
diambil tindakan, beliau khuatir mereka akan melakukan himpunan haram
tersebut pada masa akan datang.
“Saya sebagai pengerusi
gerakan baju merah, dengan tertuduhnya saya, dengan tertuduhnya
rakan-rakan ini, saya yakin mereka akan buat Bersih 6.0 kerana
undang-undang tidak mengambil tindakan terhadap daripada apa yang mereka
lakukan,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.