Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Maklumat yang diperoleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli
berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak
berkredibiliti dan tidak boleh dipercayai, demikian tegas Ketua
Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Malah beliau mempersoalkan bagaimana sumber yang kabur ini, berdasarkan
'hearsay' (dengar cakap), dijadikan 'fakta' tuduhan Rafizi, sehingga
mengaitkan PAS dan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Dr Nasharudin Mat
Isa.
"Bekas pegawai tersebut menyebut bahawa beliau "merasakan" pernah
melihat sekeping cek dalam fail seorang peguam "seimbas lalu" sahaja
yang "dirasakan" mempunyai nama seseorang yang pernah ada kaitan dengan
PAS.
"Semuanya hanya bersifat maklumat lisan tanpa sebarang dokumen dan sebarang evidence.
"Bolehkah sumber maklumat yang kabur dan tidak jelas sebegini dijadikan asas kepada sesuatu pertuduhan?
"Seterusnya disebarkan pula ke seantero dunia yang boleh menyebabkan
kezaliman terhadap seseorang dengan tuduhan yang tidak selayaknya?,"
soal Khairuddin dalam satu kenyataan media lewat petang tadi.
Khairuddin turut mendedahkan bahawa beliau bersama beberapa pemimpin
PAS yang lain ada berjumpa dengan bekas pegawai kanan Suruhanjaya
Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan maklumat berkenaan
siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun menurut Khairuddin, tiada sebarang pendedahan dibuat,
mengenai perjumpaan berkenaan kerana tidak memperolehi bukti kukuh
sehingga ke hari ini.
"Sekiranya bekas pegawai SPRM yang dirujuk beliau (Rafizi) sebagai
sumber tuduhan beliau adalah orang sama yang saya dan beberapa pemimpin
PAS temui sebelum ini untuk mendapatkan penjelasan berkaitan siasatan
isu 1MDB, maka jelas bahawa Rafizi agak bermasalah dalam menilai
maklumat yang disampaikan kepada beliau.
"Berulang kali saya minta dibuat pengesahan nama. Beliau hanya
menyatakan hanya melihat sepintas lalu sahaja. Justeru kami meminta
beliau membuat pengesahan dan mendapatkan kembali fail tersebut. Beliau
berjanji untuk mengusahakannya walaupun agak sukar kata beliau kerana
fail tersebut bukan lagi berada pada tangan beliau," demikian memetik
kenyataannya.
Khairuddin berkata bekas pegawai kanan SPRM berkenaan masih gagal untuk membekalkan segala maklumat yang diperlukan pihaknya.
Terdahulu, Nasharudin yang didakwa menerima sejumlah wang daripada
Datuk Seri Najib Razak, menerusi 1MDB pada petang tadi menjawab
pertuduhan Rafizi.
Beliau menafikan menerima sebarang bentuk dana, malah menyifatkan ia sebagai fitnah terhadap dirinya dan PAS.
Nasharudin juga membayangkan akan menyaman Rafizi atas tuduhan
berkenaan, di samping bersedia bekerjasama dengan SPRM bagi membantu
siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.