Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Parti Alternatif Rakyat (PAP) mahu usul Umno Pulau Pinang
yang mendesak peletakan jawatan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri,
diberi keutamaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mei nanti.
Naib Pengerusinya, Rahmad Ishak berkata, ini kerana ia berkaitan dengan
soal integriti dan maruah kerajaan negeri selepas pemimpin itu kini
terpalit dengan dakwaan rasuah.
"Asas kepada usul berkenaan lebih menjurus kepada soal integriti
kepimpinan oleh seorang Ketua Menteri yang sedang berhadapan dengan
proses pendakwaan perundangan jenayah dan dijangkakan akan dimuktamadkan
untuk satu tempoh yang panjang sehingga ke peringkat Mahkamah
Persekutuan kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya juga, kesemua 39 ADUN khususnya daripada Pakatan Harapan (PH)
perlu berani dalam menterjemahkan tanggungjawab mereka agar slogan
ketelusan yang dilaungkan kerajaan negeri selama ini dilaksanakan.
"Pihak kerajaan Pakatan Harapan (DAP dan PKR)perlu berani
menterjemahkan tanggungjawap mereka atas dasar kepentingan umum menerusi
slogan keramat mereka iaitu CAT untuk menyokong usul berkenaan, sama
ada bagi ketua menteri bercuti ataupun melepaskan jawatan beliau.
"Diingatkan bahawa kesemua pembuat dasar dan polisi menerusi DUN harus
serta bertanggungjawap dalam mempertahankan hak pengundi mereka malah
tidak bersekongkol dengan menyokong kemungkaran bagi maksud mengekalkan
kuasa politik semata-mata," katanya lagi.
"Pembentangan usul berkenaan perlu menjadi realiti serta contoh dan
disokong atas dasar kepentingan awam tanpa wujud elemen sandiwara
politik", tegasnya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi Umno Negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman
berkata parti itu akan membawa usul mendesak perletakan jawatan Lim Guan
Eng, pada sidang DUN 19 Mei ini.
Menurut Zainal Abidin, usul itu berikutan Guan Eng kini sedang berdepan
pendakwaan di mahkamah atas dua tuduhan rasuah termasuk pembelian
banglo di bawah nilai pasaran.
Menurut beliau, usul itu juga berikutan tindakan Kerajaan DAP Pulau
Pinang mahu membawa usul mengecam Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk
Shabudin Yahaya berhubung perbahasan beliau mengenai Rang Undang-Undang
Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Parlimen baru-baru
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.