Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Sebatan secara terbuka bukan bermaksud pesalah jenayah
syariah disebat di kawasan terbuka seperti Pasar Siti Khadijah, padang
bola atau tepi jalan, itu penjelasan Presiden Peguam Muslim Malaysia
(PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Katanya masyarakat perlu tahu istilah 'disebat secara terbuka' adalah
hukuman itu dijalankan ditempat tertentu, yang ditentukan oleh mahkamah
dan proses itu boleh ditonton orang awam.
"Tafsiran (istilah disebat secara terbuka) ada disebut (sebagai) dibuat
secara terbuka bukan di tempat terbuka seperti yang difikirkan oleh
orang ramai. Sebatan dibuat secara terbuka bermakna, sebatan boleh
dilakukan di dalam bilik ini (lokasi temubual berlangsung), tetapi orang
luar boleh masuk tengok. Itulah secara terbuka.
"(Sebatan) juga boleh dilakukan dalam penjara tapi diuar-uarkan orang
awam boleh datang, boleh tengok (hukuman sebat dijalankan), juga di
mahkamah. Orang awam boleh datang dan saksikan.
"Bukan di Pasar Siti Kadijah, di padang dan sebagainya. Bukan ditempat
terbuka. Pelaksanaan secara terbuka, dimana orang awam boleh datang.
Siapa nak datang, datanglah. Bukan sengaja kita letak di tepi jalan,
ditempat orang lalu lalang. Orang yang nak melihat boleh datang melihat
dan bukannya dipaksa melihat (hukuman dijalankan)," ujarnya ketika
ditemubual secara eksklusif Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan DUN Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah II, minggu lalu.
Sebaik sahaja pindaan itu diluluskan, terdapat pihak yang menyatakan
bantahan malah yang menyindir tindakan DUN Kelantan, yang sebulat suara
menyokong enakmen itu dipinda.
Mengulas lanjut, Zainul berkata pindaan itu adalah usaha kerajaan
Kelantan untuk memperkemaskan tatacara bagi pengamal undang-undang
syariah di negeri itu melaksanakan tugas masing-masing.
Beliau kemudiannya bertegas, enakmen itu langsung tiada kaitan dengan
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), yang
sedang menunggu giliran untuk dibahaskan di Parlimen.
"Akta 355 hanya berkaitan takat hukuman. Berapa kali nak sebat? Enam
kali? 100 kali ke? 80 kali ke? 40 ke? Ini (pindaan Enakmen Tatacara
Jenayah) adalah bagaimana kita nak sebat? Sekarang ini memang ada
hukuman sebatan enam kali. Tapi enam kali itu, nak sebat macamana? Itu
sahaja,"
"Akta 355 adalah berkaitan jumlah hukuman yang akan dikenakan oleh
Mahkamah Syariah tetapi enakmen Tatacara Jenayah Syariah II ini adalah
enakmen yang menyatakan bagaimana untuk melaksanakan prosiding jenayah
sama ada di peringkat siasatan, tangkapan, pendakwaan, perbicaraan,
pelaksanaan hukuman, rayuan dan sebagainya.
"Jadi tidak timbul kenapa tidak tunggu Akta 355 lulus dahulu. Kerana
enakmen Tatacara Jenayah Syariah ini tidak langsung meningkatkan jumlah
hukuman kepada pesalah (jenayah syariah)," tegasnya panjang lebar.
DUN Kelantan sebelum itu dikritik kerana meluluskan enakmen itu tanpa mengunggu pindaan Akta 355 diluluskan terlebih dahulu.
Zainul kemudiannya menyatakan kekesalannya kerana pihak tertentu
dilihat dengan sengaja cuba mencetuskan kontroversi apabila menimbulkan
persoalan mengenai hukuman sebat yang kononnya bakal dilakukan di
khalayak ramai, tanpa merujuk pihak yang lebih pakar.
Ujarnya pindaan itu membabitkan 33 enakmen tatacara, namun yang
diperbesarkan hanyalah isu sebat dengan tujuan mencetuskan panik di
kalangan orang awam.
"Kita (perundangan syariah) nak gunakan keterangan di Mahkamah Syariah
melalui video (secara langsung). Itu satu teknologi yang canggih. Tetapi
tidak diuar-uarkan pula. Bagaimana orang yang lakukan kesalahan perlu
buat perkara kebajikan, parel dan sebagainya. Itu semua ada dalam
pindaan enakmen.
"Tapi yang baik sebegitu tidak di uar-uarkan tapi yang diuar-uarkan
adalah kontroversi. Padahal tak ada pun kontroversi itu tapi dicetuskan
seolah-olah ia fenomena yang begitu dasyat apabila orang Islam akan
disebat di khalayak ramai, menjatuhkan maruah dan sebagainya, itu yang
cuba dicetuskan," ujarnya kesal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.