shahbudindotcom
Semua
orang kini ghairah bercakap mengenai Pakatan Harapan sebaik saja
struktur kepimpinan dan logo barunya dimuktamadkan secara rasmi semalam.
Selain
munculnya semula gandingan Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim
bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang mantap dan menyeluruh
sambil menggariskan enam matlamat yang ingin didokong serta tujuh
sasaran selepas 100 hari menubuhkan kerajaan, segala-galanya kini bagai
munculnya sebuah harapan baru bagi rakyat untuk berteduh dan bernaung.
Dalam
masa yang sama, isu perpecahan dan berbalah sesama sendiri dalam
Pakatan Harapan yang sebelum ini digembar-gemburkan akan memberi
kelebihan kepada UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasa, dengan sendirinya
tidak lagi berbangkit. Gabungan itu kini automatik jadi solid, mantap,
menarik dan dipercayai.
Semua
jalur kepimpinan dan lapisan lain dalam semua parti Pakatan Harapan
nampaknya sepakat untuk lebih mengutamakan perjuangan menyingkirkan
Najib Razak dan kerajaan kleptokrasi yang sedang dipimpinnya.
Dalam
sekelip mata, bersama gandingan Tun Mahathir - Anwar, struktur
kepimpinan yang mantap, logo yang menarik, enam matlamat yang menjadi
dokongan dan tujuh sasaran dalam tempoh 100 hari, Pakatan Harapan lebih
diyakini untuk membentuk sebuah kerajaan baru bagi menggantikan UMNO dan
BN.
Di
mana-mana, orang bukan lagi sekadar bercakap mengenai kerajaan baru
yang jelas pro rakyat akan terbentuk selepas pilihanraya akan datang,
bahkan sudah ada yang meneka-neka apa jadi kepada Najib setelah beliau
tidak lagi menjadi Perdana Menteri nanti.
Siapa
tidak mahu sifar GST? Siapa tidak mahu harga petrol yang stabil? Siapa
tidak mahu kos sara hidup diturunkan? Siapa tidak mahu reformasi
institusi yang selama ini banyak rosak dan binasa? Siapa tidak mahu
rasuah diperangi, bukan saja di akar umbi tetapi juga di peringkat
tertinggi? Siapa tidak mahu Suruhanjaya Diraja 1MDB? Siapa tidak mahu
Felda dipulihkan?
Dengan
Pakatan Harapan yang terbentuk sekarang ini, ruang untuk mereka
menjelalah dan berkempen ke seluruh negara jelas terbuka dengan lebih
luas. Pakatan Harapan bukan saja boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka
akan menunaikan semua enam matlamat dan tujuh sasaran yang digariskan
itu, bahkan akan membangkitkan lebih kesedaran dan keghairahan pelbagai
kaum menuju perubahan.
Di
ketika keghairahan rakyat membuak-buak ini, jika Pakatan Harapan dapat
segera mengatur program jelajah, ceramah atau bertemu rakyat ke seluruh
negara, pasti dengan mudah puluhan ribu akan menghadirinya.
Kalau
momentumnya dapat dikekalkan sehingga tarikh pilihanraya diadakan,
pastilah juga suatu tsunami rakyat benar-benar akan terjadi yang
akhirnya mampu merempuh dan menenggelamkan Najib, UMNO serta BN.
Aura
dan pengaruh Tun Mahathir tidak dinafikan adalah suatu kelebihan bagi
Pakatan Harapan dan ia terlalu sukar untuk ditandingi oleh
pemimpin-pemimpin UMNO sedia ada. Bersatunya kembali beliau dengan
Anwar, bagi mereka yang mahu berfikir, adalah bukti nyata bahawa
kepimpinan Najib untuk negara jauh lebih teruk berbanding perseteruan 18
tahun antara kedua-duanya selama ini.
Menghitung
hari-hari ke depan, Najib barangkali semakin sukar menafikan masa
depannya kian kabur dan kelam dengan perkembangan Pakatan Harapan ini.
Semakin sukar untuk rakyat mahu mengekalkan UMNO dan BN sebagai kerajaan
di ketika mereka dihimpit kiri dan kanan dengan pelbagai kesusahan dan
tekanan dalam meneruskan kehidupan, di samping imej beliau pula terus
menjadi bualan buruk yang menyesakkan dada.
Menoleh
ke belakang pula, satu-satunya perkara yang mungkin dikesali Najib
ketika ini ialah tidak mengadakan pilihanraya lebih awal lagi.
Jika
beliau membubarkan Parlimen lima atau enam bulan sebelum ini atau tidak
lama selepas Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, di mana ketika itu
Bersatu belum ditubuhkan, Pakatan Harapan masih bercelaru, logo tidak
menentu, Tun Mahathir belum sempat berbaik dengan Anwar dan sesama
pimpinan mereka juga kerap bertelagah sesama sendiri, tidak mustahil
peluang UMNO dan BN mengekalkan kuasa jauh lebih baik lagi.
Beliau
mungkin menjangkakan lagi masa dilewatkan, lagi banyak masalah akan
timbul dalam Pakatan Harapan, di samping mengharapkan penilaian rakyat
terhadap kepimpinannya bertambah baik.
Tetapi,
tempoh masa lima enam bulan yang berlalu telah memberi ruang kepada
Pakatan Harapan menyelesaikan banyak perkara sambil memantapkan
kedudukannya sementara kedudukan Najib, UMNO dan BN terus juga merudum
disebabkan terlalu sarat dengan isu dan dosa-dosa yang tak terkira yang
tidak mudah diabaikan begitu saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.