BATU CAVES: Kunjungan pemimpin PKR terhadap Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang malam tadi hanyalah ziarah biasa, kata Timbalan
Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.
Ujarnya PKR sudah lama merancang untuk menziarahi Hadi selepas Ahli
Parlimen Marang itu menjalani pembedahan injap jantung di Institut
Jantung Negara (IJN) Mei lalu.
"Di peringkat awal, memang kita dinasihatkan untuk tidak menganggu
uztaz Hadi kerana beliau perlukan rehat. Setelah dua bulan, saya dan YB
Dr Wan Azizah berasa kita perlu menziarahi uztaz Hadi serta mendoakan
beliau cepat sembuh.
"Alhamdulilah daripada perbincangan yang berjalan malam tadi, nampaknya
uztaz Hadi sudah semakin pulih dan bertambah sihat, tetapi doktor
menasihatkan beliau terus berehat untuk satu tempoh sebelum dapat
menjalankan aktiviti biasa," katanya kepada pemberita, di Batu Caves
pagi ini.
Semalam tular di laman sosial, gambar Hadi dikunjungi Presiden PKR
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Dr Shaharuddin Badaruddin.
Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin ketika dihubungi Antarapos
berkata kunjungan itu adalah sekadar lawatan silaturrahim yang tiada
kaitan dengan sebarang perbincangan ke arah kerjasama politik.
"Kunjungan itu memang sudah lama difikirkan, juga untuk ke Terengganu
menziarahi beliau. Tetapi akhirnya beliau di sini, jadi kita ambil
kesempatan untuk menziarahi beliau. Tiada langsung cerita politik.
"Hanya cerita mengenai kesihatan, bertanya khabar dan sebagainya.
Beliau tanyakan khabar Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Anwar pun sampaikan
salam kepada Hadi. Maknanya sekadar bertanya khabar dan ia lawatan
silaturrahim antara pimpinan Keadilan (PKR) dan Datuk Seri Hadi,"
katanya.
Sementara Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini
bertegas parti itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PKR pada
pilihan raya akan datang, terutama di Selangor.
Beliau menyatakan komitmen berkenaan selepas ditanya mengenai kunjungan pemimpin PKR terhadap Hadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.