Oleh Shuhaniza Said
PETALING JAYA: PAS menegaskan tidak akan ada kerjasama politik bersama
PKR, selaras dengan keputusan yang telah dimuktamadkan oleh Majlis Syura
Ulama parti itu Mei lalu.
Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man, ketika ditanya sama ada wujud perbincangan bersama PKR dalam
mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), khususnya dalam konteks
negeri Selangor.
Beliau berkata PAS berpegang dengan polisi yang diputuskan parti,
walaubagaimanapun ujarnya, parti itu tetap terbuka dengan sebarang
perbincangan dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
itu, khususnya berkaitan hal rakyat.
"Dalam konteks kerjasama politik, tidak. Kita baru buat keputusan dalam muktamar.
"Budaya politik matang dan sejahtera kita ialah terbuka, kita tak tutup pintu rundingan, kita 'engaged' dengan semua pihak.
"Cuma parti kita dah buat keputusan, kita dah putuskan tahaluf dengan
PKR, DAP dan sebagainya. Dan kita mantapkan Gagasan Sejahtera, bukan
bermakna tak boleh bincang...boleh bincang, tiada masalah. Tapi polisi
kita bersama dengan Gagasan," katanya dalam sidang media selepas
menghadiri program Munaqasyah di sini hari ini.
Tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR terputus secara rasmi pada Mei
lalu selepas Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan berkenaan
berikutan sikap PKR yang dikatakan melanggar prinsip bertahaluf.
Isu kerjasama politik antara kedua-dua parti itu kembali hangat
diperkatakan selepas tersebarnya gambar pemimpin PKR melakukan kunjungan
terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi.
Abdul Hadi malam tadi menerusi laman Facebook berkongsi gambar beliau
menerima kunjungan daripada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail , Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib
Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin.
Gambar tersebut yang turut dikongsi Azmin menerusi Twitter beliau,
sekaligus mencetuskan spekulasi sama ada kedua-dua parti itu akan
bekerjasama dalam PRU14 akan datang.
Lebih menimbulkan tanda tanya, kunjungan itu dilakukan beberapa hari
selepas Azmin dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan
(PH).
Malah, Azmin baru-baru ini juga berkata, beliau bersedia untuk
berunding dengan PAS dalam mendepani PRU14 kelak bagi memastikan tiada
pertembungan sesama pembangkang memandangkan PAS kini bukan sebahagian
daripada gabungan PH.
Mengulas mengenai kunjungan pemimpin PKR itu, Tuan Ibrahim berkata,
tiada sebarang perbincangan politik ketika pertemuan berkenaan.
"Kunjungan itu ziarah, kebetulan masa di IJN doktor nasihatkan Tok Guru
(Hadi) tak dapat terima tetamu. Datuk Seri Najib pun datang ziarah.
"Politik kita bukan politik budak-budak. Kita politik matang, kita
pegang polisi tapi boleh bincang selagi mana tak melanggar polisi. Ini
budaya yang PAS nak bawa kepada rakyat," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.