ALOR SETAR: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menegur
sikap segelintir masyarakat yang sering berdebat secara tidak beradab
mengenai isu-isu sensitif di laman sosial semata-mata kerana perbezaan
ideologi sempit atau kepentingan diri sendiri.
Baginda bertitah, perdebatan isu-isu mengenai kemuliaan agama Islam,
kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan kaum serta hukum agama di alam
maya, sering kali mengundang tafsiran negatif berhubung perkara
berkaitan.
Tidak terkecuali, teguran sama turut dititahkan terhadap sebahagian
golongan ilmuan agama yang sering mengeluarkan fatwa, tuduh menuduh dan
berdebat di ruang maya sehingga masyarakat berpecah belah.
“Senario ini menjadi virus yang memporak-peranda dan mengelirukan
rakyat, memecah belah serta mengkucar-kacirkan ukhwah yang selama ini
terjalin indah.
“Apatah lagi pimpinan politik dan individu berkepentingan mengambil
kesempatan untuk mewujudkan suasana tidak harmoni sekali gus
menghangatkan lagi permusuhan dan polemik sesama umat Islam,” titahnya.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Baginda bertitah demikian ketika
merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Ke-13
di sini hari ini.
Teks titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.