HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 September 2017

KEMASKINI] SPRM terus digesa siasat Azmin salah guna kuasa jual tanah RM1.18 bilion

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin hari ini tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak satu siasatan berhubung penjualan sebidang tanah di Ijok yang bernilai kira-kira RM1.18 bilion.
 
Beliau yang dikenali sebagai Chegubard mendakwa, ia ekoran wujud beberapa elemen 'mencurigakan' memandangkan tanah berkenaan sebelum ini terlibat dengan proses perundangan apabila kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merampasnya daripada dua buah syarikat iaitu Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kerana kegagalan membangunkan tanah tersebut.   
 
Dakwa beliau lagi, namun tanah berkenaan dipulangkan kembali kepada dua syarikat tersebut apabila Datuk Seri Azmin Ali mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.
  
"Syarikat yang memiliki tanah ketika itu telah membawa kes ini kepada dua peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Kedua-dua mahkamah membuat keputusan mempertahankan tindakan kerajaan negeri menarik tanah tersebut. 
 
"Tetapi syarikat terus membawa (kes) tanah itu ke Mahkamah Persekutuan. Ketika di Mahkamah Persekutuan, menteri besar bertukar tangan iaitu daripada Tan Sri Khalid kepada Datuk Seri Azmin Ali.
 
"Tiba-tiba (kes) tanah tersebut diselesaikan secara luar mahkamah di mana tanah tersebut diberi hak kepada syarikat berkenaan semula, dan dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi kepada sebuah syarikat lain untuk dimajukan. Ini nampak sangat-sangat tidak kena," katanya kepada pemberita di hadapan pejabat SPRM di sini sebentar tadi.   
 
Chegubard turut membawa dokumen yang menyatakan butiran secara jelas sebagai menyokong dakwaannya itu. 
 
Bagaimanapun ketika ditanya mengenai sumber kepada dokumen tersebut, beliau enggan mengulas lanjut sambil menambah, soal sumber tidak penting.  
 
Dokumen itu diterima seorang kakitangan SPRM, Teo Woi Yu.
 
Beliau dalam pada itu mempersoalkan bagaimana Azmin boleh memulangkan semula tanah kepada dua syarikat tersebut sedangkan kerajaan negeri tidak mempunyai apa-apa kewajipan undang-undang (legal obligation) terhadap syarikat itu.
 
Dakwanya, tanah itu kemudian dijual kepada sebuah syarikat pemaju iaitu Eco World Group Development Berhad dengan harga RM1.181 bilion.
 
Tambah Chegubard, lebih menghairankan, carian yang dilakukan pihaknya mendapati kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai kaitan dengan orang kuat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, yang bertindak selaku pengarah dua syarikat berkenaan. 
 
"Dia (Khairuddin) orang politik, orang Dr Mahathir di mana kita tahu hubungan Dr Mahathir dengan Azmin. Dokumen yang sangat lengkap daripada geran tanah, keputusan mahkamah, surat menyurat dengan tanda tangan dia sendiri, saya rasa SPRM tidak ada alasan untuk tidak membuat siasatan dan pendakwaan dalam kes ini," ujarnya.
 
Sebelum ini sebuah NGO, Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) turut tampil membuat laporan kepada SPRM berhubung isu yang sama. 
 
Presiden IMPAK Datuk Zul Azhari Mohamed Juah menggesa SPRM menyiasat kes itu ekoran urus niaga berkaitan tanah berkenaan menimbulkan pelbagai keraguan khususnya kaedah yang digunakan Azmin sewaktu menyelesaikan isu tersebut.
 
 

Tiada ulasan: