SEREMBAN: Kebakaran besar yang berlaku di tingkat satu Pasar Besar
Seremba pada 9 September lalu, adalah berpunca daripada perbuatan
khianat, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan.
Pengarahnya, Norazam Khamis, berkata siasatan mendapati suspek
dipercayai mencurahkan petrol di hadapan pintu bidai besi Kedai Makanan
dan Minuman Seng Hing bernombor 758A sebelum menyalakan api.
"Pasukan penyiasat bomba dibantu anjing pengesan menemui lima kesan
sisa cecair mudah terbakar di hadapan lot gerai terbabit. Sampel itu
kemudian dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran sebelum disahkan
sebagai petrol.
"Bomba juga menemui 'fire starter' yang belum digunakan di dalam tong sampah di hadapan gerai sama.
Pemilik gerai menafikan kedua-dua bahan itu miliknya dan kita juga mendapati tiada kesan petrol di dalam premisnya.
"Berdasarkan penemuan ini, kita merumuskan punca kebakaran adalah
sengaja dibakar dan menyerahkan siasatan lanjut kepada polis," katanya
pada sidang media di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Yang turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam kebakaran jam 7.36 malam pada 9 September lalu, kira-kira 90
peratus tingkat satu pasar berkenaan membabitkan lebih 300 lot gerai,
musnah namun bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke tingkat
bawah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.