Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: ADUN Barisan Nasional (BN) Selangor kecewa selepas
kelima-lima usul yang ingin dibentangkan mereka ditolak oleh Speaker
Dewan, Hannah Yeoh hari ini.
ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak yang mewakili parti itu
berkata, pengurusan terbaru pada DUN kali ini dilihat langsung tidak
mengamalkan sikap demokrasi khususnya kepada pembangkang selepas tidak
memberikan ruang kepada mereka untuk membentangkan usul tersebut dengan
alasan yang tidak munasabah.
"Kita bagi pihak BN amat dukacita dengan sikap yang ditunjukkan oleh
pihak speaker kerana pada pagi ini kita menerima kelima-lima jawapan
daripada speaker bahawa kelima-lima usul ini ditolak.
"Kita berasa amat sedih, kita menghantar lima dan lima-lima ditolak,
tiada satu pun akan dipertimbangkan untuk dibawa ke dalam perbahasan.
"Kita kena ingat bahawa perbahasan dan usul adalah satu perkara yang
berbeza sebab kita ingin ia dibawa dalam bentuk usul supaya satu
perbahasan yang besar, menyeluruh daripada kedua-dua belah pihak,
kerajaan dan pembangkang," katanya kepada pemberita pada hari kedua
sidang DUN Selangor hari ini.
Terdahulu, lima usul yang dibawa oleh lima ADUN dari BN ditolak speaker
dewan dengan alasan ianya boleh dibentangkan semasa sesi perbahasan,
dan bukannya melalui ruangan usul-usul khas dan spesifik.
Antara usul yang telah dihantar ialah usul mengenai memperkukuh
institusi mahkamah syariah, oleh Sulaiman sendiri, usul berkaitan Ikrar
Bebas Rasuah oleh Datuk Shamsudin Lias (Sg. Burong), usul berhubung
Yayasan Selangor oleh Datuk Abdul Shukur Idrus (Kuang), usul mengenai
Oktoberfest oleh Shahrum Mohd Sharif (Dengkil), dan usul tentang lesen
pusat hiburan oleh ADUN Jeram, Datuk Amiruddin Setro.
Dalam pada itu, speaker dewan, Hannah Yeoh menepis dakwaan pembangkang tersebut.
Katanya, usul berkenaan terpaksa ditolak bagi memberi laluan kepada belanjawan pada sidang DUN kali ini.
"Usul-usul yang dibawa, banyak perkara daripada usul itu boleh
dibangkitkan dalam perbahasan dasar, semasa mereka bangun mereka boleh
cakap, tidak perlu perhatian khas dewan, tidak perlu kita ambil masa
semua ADUN untuk meneliti usul itu.
"Memang tidak timbul dakwaan kononnya speaker tidak berdemokrasi, tiada ruang untuk bahas," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.