Halaman

Sabtu, 11 November 2017

Henti langgan Utusan dan BH, Annuar kata Azmin tunduk kepada DAP

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan kerajaan negeri Selangor menghentikan langganan akhbar di bawah Utusan Malaysia dan Berita Harian membuktikan ia tunduk kepada pengaruh DAP.
 
Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sambil menambah perkara itu akan memberi gambaran yang buruk terhadap pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
"Ia adalah satu tindakan yang tidak matang dan kebudak-budakan," kata Annuar menerusi satu kenyataan media malam tadi.
 
Annuar juga mempertahankan dua akhbar berbahasa Melayu itu yang sering memperjuang dan memartabatkan masyarakat Melayu dan Islam dalam kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.
 
Tindakan yang berkuatkuasa semalam itu disifatkan Annuar sebagai menunjukkan kebencian terhadap agama oleh kerajaan negeri, yang dipengaruhi oleh DAP.
 
"Kita yakin tindakan ini tidak direstui rakyat Selangor, dan ia akan meningkatkan penolakan rakyat terhadap Kerajaan Selangor di bawah telunjuk DAP," kata Annuar.
 
Kerajaan Selangor pada semalam mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri menghentikan langganan akhbar di bawah kumpulan Utusan Malaysia dan Berita Harian berkuat-kuasa serta-merta.
 
Arahan itu dikeluarkan melalui pekeliling bertarikh 9 November dan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.
 
Mohd Amin juga memaklumkan bahawa arahan untuk membatalkan langganan dan menghentikan iklan dalam akhbar Kumpulan Utusan pertama kali dikeluarkan melalui pekeliling bertarikh 12 Jun 2008, beberapa bulan selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Selangor.
 
Pada masa yang sama, Mohd Amin juga mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri supaya memberi tumpuan kepada melanggan akhbar syarikat kerajaan negeri, Selangor Kini, Sinar Harian dan The Star sahaja.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.