DA NANG: Datuk Seri Najib Razak berkata rundingan Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan 11 negara, belum
berakhir meskipun berlaku beberapa masalah yang dihadapai dalam mencapai
kata sepakat.
Bercakap kepada media Malaysia di Da Nang malam tadi, Perdana Menteri berkata lebih banyak masa diperlukan untuk tujuan itu.
Anggota TPPA, yang bermesyurat di Da Nang sempena Mesyuarat Pemimpin
Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25, merundingkan
perjanjian itu di luar persidangan terbabit.
Mesyuarat Pemimpin TPPA yang dijadualkan semalam, bagaimanapun tidak
dihadiri Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, yang sekali gus
menjejaskan keyakinan awal bahawa pakatan perdagangan itu akan
dimuktamadkan di Da Nang.
Najib berkata tidak ada alasan khusus yang diberikan, namun kebanyakan
pemimpin TPPA berpendapat bahawa ia lebih bersifat politik daripada
substantif.
"Ya, ia tidak dijangkakan, kerana tidak ada petunjuk bahawa akan timbul
masalah. Tetapi pada saat-saat akhir, timbul masalah," kata Najib.
Beliau berkata para pemimpin memutuskan bahawa Trudeau memerlukan lebih
banyak masa dan ruang untuk memutuskannya bersama ahli politik dan
pengundi negara itu.
"Kita perlu percaya kepadanya. Ia tidak disengajakan untuknya
membelakangkan TPPA, saya yakin beliau mempunyai masalah politik di
negaranya.
“Saya jangkakan terdapat penilaian pada saat-saat akhir yang membuatkan
beliau lebih berhati-hati dan tidak mahu menambah tekanan politik di
negaranya," kata Najib.
Beliau berkata ada usaha untuk menyelesaikan masalah itu, termasuk
pertemuan oleh Presiden Jepun Shinzo Abe dengan Trudeau, namun belum
mencapai persetujuan.
Ketika ditanya sama ada terdapat tempoh masa bagi negara anggota untuk
mencapai persetujuan, Najib berkata: "Saya fikir kita perlu memberi
beberapa bulan lagi. Secara khususnya, tidak ada tempoh masa
ditetapkan”.
Nikkei bagaimanapun memetik Menteri Ekonomi dan Dasar Fiskal Jepun,
Toshimitsu Motegi sebagai berkata bahawa para menteri dari 11 negara
TPPA mengesahkan pada Jumaat mereka telah mencapai persetujuan secara
prinsip untuk melaksanakan perjanjian perdagangan itu.
Menteri Industri dan Perdagangan Vietnam Tran Tuan Anh akan mengadakan
sidang akhbar bersama hari ini bagi mengumumkan butiran lanjut mengenai
perjanjian itu, katanya.
Sementara itu, Najib berkata Malaysia mahukan perjanjian yang boleh diterimanya.
"Kita mempunyai keperluan sendiri dan akan memastikan ia menjadi
sebahagian daripada keputusan akhir TPPA. Kita mahukan TPPA, tetapi
perlu berdasarkan syarat kitai. Itulah yang saya selalu tekankan," tegas
beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.