PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad
bersedia dipanggil polis bagi membantu siasatan ekoran kenyataannya yang
menghina masyarakat Bugis sebelum ini.
Bekas perdana menteri sekali lagi menegaskan, kenyataan yang
dikeluarkannya pada perhimpunan anti-kleptokrasi pada 14 Oktober itu
hanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tidak
menyentuh mana-mana komuniti Bugis, termasuk Naib Presiden Indonesia
Jusof Kalla.
“Polis punya kerja. Polis memang akan buka kertas siasatan. Kalau dipanggil saya memang kena pergilah.
“Saya tak kata apa pun kepada Jusof Kalla atau semua orang Bugis. Saya
kata Najib sahaja. Saya tak kata apa kepada Jusof Kalla,” katanya kepada
pemberita selepas program bual bicaranya di Yayasan Kepimpinan Perdana
di sini.
Sebelum ini, Jusof melahirkan terkejut apabila ceramah Dr Mahathir
diselitkan dengan kenyataan yang didakwa menghina orang berketurunan
Bugis.
Malah pada kelmarin, beliau mendesak Dr Mahathir memohon maaf atas penghinaannya itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisoner
Fadzil Ahmat sebelum ini berkata, pihak polis membuka 2 kertas siasatan
terhadap Dr Mahathir dan siasatan terperinci sedang dijalankan.
Dr Mahathir semasa berucap dalam perhimpunan anjuran Pakatan Harapan
itu dilaporkan berkata Najib mungkin berasal daripada “lanun Bugis” yang
sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke tanah Bugis.
Susulan kenyataan itu, Dewan di-Raja Selangor mahu Dr Mahathir disiasat
dan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini juga
menzahirkan rasa kecewa dan murka ekoran tindakan sebilangan pemimpin
yang mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.
Baginda bertitah, tindakan Dr Mahathir itu boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat.
Selain itu, kenyataan berkenaan turut mengundang bantahan Persatuan Perpaduan Rumpus Bugis Melayu Malaysia.
Pada 17 Oktober pula, 2 laporan polis dibuat oleh Persatuan Bugis Johor berhubung kenyataan Dr Mahathir itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.