Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W M Azhar
KUALA LUMPUR: Kedudukan anak-beranak Lim terus kekal dalam Pemilihan
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diadakan kali ketiga, pada
hari ini.
Lim Kit Siang mengekalkan jawatan Penasihat DAP begitu juga anaknya Lim
Guan Eng terus mempertahankan jawatannya sebagai Setiausaha Agung.
Kit Siang dan Guan Eng sebelum ini dikritik pelbagai pihak atas sikap
dominasinya dalam pimpinan parti, termasuk digesa untuk melepaskan
jawatan.
Untuk rekod, Kit Siang mula memegang jawatan di dalam parti sejak tahun
1966 sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan, manakala Guan Eng mula
bergiat dalam parti sejak tahun 1989 sebagai Ketua Pemuda DAP.
Gobind Singh Deo, yang memperolehi undi kedua tertinggi sebanyak 1,198 dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP.
Dua wakil Melayu DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang dipilih
secara lantikan dipilih sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan, manakala
Zairil Khir Johari kekal dengan jawatan sebagai Timbalan Setiausaha
Publisiti Kebangsaan.
Sementara itu, Guan Eng dalam sidang media selepas pengumuman keputusan
pemilihan CEC menaruh harapan agar Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS)
tidak lagi mempertikai senarai jawatankuasa terbaru ini.
"Kita percaya dengan pemilihan ini, dan kita boleh teruskan kerja secara sah tanpa diganggu oleh RoS.
"Selepas pemilihan ini, kita boleh berikan tumpuan kepada kesiapsiagaan
parti untuk menghadapi PRU14, tak kira ia diadakan tahun ini atau tahun
depan," ujarnya.
Gobind juga menyatakan pandangan yang senada dengan Guan Eng dengan
menambah segala proses pemilihan ini telah mengikut syarat yang
ditetapkan juruaudit bebas, Grant Thorton.
"Berkaitan dengan RoS, saya selaku Ketua Biro Undang-undang, saya harap
mereka tidak akan memberikan apa-apa alasan berkenaan pemilihan ini.
"Kita telah lalui dua proses pemilihan, dan kali ini kita lalui dengan bantuan Grant Thornton dan kita ikut semua syarat RoS.
"Kami harap RoS menerima keputusan ini dan membenarkan kami teruskan
dengan usaha dan kerja lain, iaitu persiapan menghadapi PRU akan
datang," kata Gobind.
Berikut adalah senarai pemilihan CEC DAP mengikut jawatan bagi tahun 2017:
Pengerusi Kebangsaan : Tan Kok Wai
Timbalan Pengerusi Kebangsaan : Gobind Singh Deo
Naib Pengerusi : Chong Chieng Jen, Chow Kow Yow, M. Kulasegaran,
Zulpuri Shah Raja Puji (lantikan) dan Wong Tien Fatt (lantikan)
Setiausaha Agung : Lim Guan Eng
Timbalan Setiausaha Agung : Teresa Kok, Nga Kor Ming dan V. Sivakumar
Bendahari Kebangsaan : Fong Kui Lun
Penolong Bendahari Kebangsaan : Ngeh Koo Ham
Setiausaha Organisasi Kebangsaan : Anthony Loke Siew Fook
Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan : Su Keong Seong (lantikan) dan Khoo Poay Tiong (lantikan)
Setiausaha Publisiti Kebangsaan : Tony Pua
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan : Yeo Bee Yin (lantikan) dan Zairil Khir Johari
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan : Liew Chin Tong
Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan : Ong Kian Ming (lantikan)
Setiausaha Antarabangsa : Teo Nie Ching
Ketua Parlimen DAP : Lim Kit Siang
Ahli Jawatankuasa : Chong Eng, Ronnie Liu, Datuk Teng Chang Kim, Jannie
Lasimbang (lantikan), Dr John Brian Anthony (lantikan), Wong Kah Woh
(lantikan) dan Hannah Yeoh (lantikan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan